+ KaJiaN SoSiaL +

Pengenalan KS : Pengaruh Elemen Tematik

| Tuesday, June 7, 2011
Pengaruh Elemen Tematik
Dalam Kehidupan Sosial Kanak-Kanak


1 - Budaya

"Budaya" secara amnya merujuk kepada kegiatan-kegiatan manusia. Perkataan bahasa Inggerisnya culture, berasal daripada kata akar bahasa Latin "colere" (mendiami, mengerjakan, menghormati). Terdapat berbagai-bagai penafsiran perkataan "budaya" yang berbeza yang membayangkan teori penafsiran yang berlainan terhadap pemahaman dan kriteria penilaian untuk kegiatan manusia. Budaya atau kebudayaan (berasal dari perkataan Sanskrit iaitu buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal) secara am bermaksud perkara berkaitan akal dan budi manusia. Di dalam pengertian yang lebih luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dicipta oleh manusia, berlawanan dengan "perkara semula jadi" atau nature yang bukan diciptakan atau boleh diubah oleh manusia.

Amnya, budaya (culture) bermaksud cara hidup manusia. Ia merupakan satu proses perkembangan personaliti, akal, semangat dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok. Perkara ini dapat dilihat melalui etimologi atau kata asas gabungan perkataan “budaya” yang bermaksud “budi + daya” iaitu bermaksud budi sebagai aspek batin manusia yang meliputi akal dan nilai, manakala daya sebagai aspek zahir manusia yang meliputi usaha dan hasil daripada usaha. Secara keseluruhannya, budaya boleh difahamkan sebagai segala hasil sesebuah masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk konkrit ataupun abstrak. Konsep budaya merupakan satu konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara suatu masyarakat dengan suatu masyarakat yang lain.

Budaya adalah pewarisan, kepercayaan, nilai-nilai, dan pengetahuan asas mengenai kehidupan yang merupakan salah satu aspek penting kerana ianya memberikan gambaran kepada kita bahawa budaya mempunyai peranan yang tersendiri dalam membentuk nilai dan personaliti peribadi manusia. Secara umum, aspek-aspek kebudayaan dapat mempengaruhi perilaku manusia dalam kehidupan seharian. Maksudnya, manusialah yang mencipta atau mempelajari sesuatu, serta dapat menyesuaikan diri dengan budaya tertentu. Budaya membantu kita dalam memahami dan mendalami sesuatu perkara dengan sebaik mungkin. Misalnya, kita dapat memahami seseorang individu dan kelompok sesuatu masyarakat dalam keadaan tertentu.

Budaya juga mempunyai keunikannya yang tersendiri. Setiap budaya yang diketengah dan ditonjolkan memberi kesan yang positif atau negatif dalam kehidupan manusia Di sini, dapat dilihat betapa uniknya sesuatu kebudayaan sekiranya kita menghayati dan menilainya dengan pandangan kita yang tersendiri. Setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza dalam menilai sesuatu perkara. Justeru, terpulang pada individu tersebut dalam memberikan pendapat tentang sesuatu perkara umum.

Kewujudan beberapa perbezaan dan persamaan yang dapat dilihat melalui keunikan sesuatu budaya. Bahkan, kita semua mempunyai pelbagai sistem anutan, agama, cara hidup, nilai tradisi yang ingin ditonjolkan dalam kehidupan seharian. Dalam pengajian sosial, budaya amat penting dalam mempengaruhi kehidupan sosial kanak-kanak. Bagi kanak-kanak pula, budaya adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan agar pembentukan budaya yang baru bermula dalam diri mereka tidak akan dilupakan dan sering bermain-main di fikiran mereka. Hal ini seterusnya dapat memupuk budaya yang tidak dikenali diamalkan dalam kehidupan seharian.

Di persekitaran kita, bermain sambil belajar merupakan salah satu budaya kanak-kanak yang sering dilihat di rumah mahupun di sekolah. Bermain sambil belajar merupakan sesuatu perkara yang sedia ada dan menjadi kegiatan wajib anak-anak dalam perkembangan minda, bakat, dan minat mereka terutama dalam membentuk nilai disiplin diri yang kuat. Budaya ini banyak memberikan manfaat kepada kanak-kanak dalam menjadikan diri mereka sebagai individu yang berkredibiliti serta berdisiplin.

Perilaku sosial kanak-kanak turut dipengaruhi oleh budaya dan cara-cara bagaimana kanak- kanak itu dibesarkan.Penyesuaian sosial merupakan satu proses di mana kanak-kanak dilatih untuk berinteraksi secara harmonis dengan masyarakat. Jelaslah bahawa bermain dianggap sebagai satu perkara penting bagi kanak-kanak. Dengan proses ini juga kanak-kanak akan mempelajari dan membentuk sikap persaudaraan dan pergaulan dalam perhubungan sosial secara tidak langsung. Sebagai contohnya semasa menjalankan aktiviti berkumpulan. Semasa proses kumpulan dilakukan, kanak-kanak akan memperolehi pengalaman aktif iaitu saling mengenali, saling menolong dalam kumpulan, bertukar idea dan pendapat, persefahaman dan bertoleransi.

Tambahan lagi, kanak-kanak juga dapat mempelajari tentang bagaimana untuk menghormati hak- hak individu lain seperti menghormati sesuatu perkara dan tidak menggunakan harta benda orang lain jika bukan miliknya, malah, sanggup berkongsi sesuatu perkara dan sebagainya. Justeru itu, ibu bapa, para guru dan ahli masyarakat harus memainkan peranan dalam menyediakan sumber-sumber yang dapat menghiburkan hati kanak- kanak. Contohnya, alat-alat permainan dan aktiviti-aktiviti sukan yang dapat mendorong kanak-kanak untuk mencapai tahap sosial yang bersesuaian dengan umur mereka.

Kewujudan budaya membaca merupakan salah satu daripada amalan positif yang banyak memberikan kesan-kesan kebaikan dalam kehidupan kanak-kanak. Budaya membaca merupakan tempat pencarian ilmu terutama bagi kanak- kanak yang semakin membesar dan mengenali alam sekitarnya. Ilmu merupakan harta terpenting dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar. Ia banyak memberikan manfaat terutama dalam melahirkan insan yang seimbang dalam segala aspek. Justeru, budaya membaca harus disemai dan dipupuk di peringkat kanak-kanak lagi supaya dapat melahirkan generasi yang mampu mencipta sesuatu perubahan yang baru dan bersesuaian di negara kita kelak.

Secara umumnya, semua negara di seluruh dunia mempunyai warisan kesenian dan kebudayaannya yang tersendiri. Contohnya ialah muzik, tarian dan sebagainya. Justeru, kanak-kanak perlu dibiasakan dengan warisan kesenian dan kebudayaannya sendiri. Kebiasaannya, kanak-kanak akan diajar mengenali budaya bermula dari rumah. Mereka perlu didedahkan dengan amalan-amalan budaya yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Maka, kanak-kanak akan berpotensi dalam menjana idea serta bertukar pendapat mengenai kepelbagaian warisan kesenian dan kebudayaan negara. Melalui kaedah ini juga, kanak-kanak dapat menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai kebudayaan dan kesenian yang terdapat di negara.

Kesudahannya, jelaslah di sini bahawa budaya memainkan peranan yang penting dalam menyingkap segala persoalan mengenai tingkahlaku kehidupan kanak-kanak. Aspek budaya banyak memberi kesan kepada psikologi kanak-kanak dalam pembentukan tingkahlaku mereka di samping dapat memberikan panduan bagi memupuk sikap dan nilai-nilai murni dalam diri mereka.

2 - Manusia, Tempat & Alam Sekitar

Manusia ialah makhluk yang mempunyai akal dan budi yang tinggi sekali antara semua benda hidup. Manusia dari segi psikologi pula merupakan haiwan yang bersosial dan cara manusia bersosial secara tidak disedari adalah sangat kompleks dan lebih maju berbanding makhluk lain. Dalam elemen ini kita akan melihat tentang hubungan diantara manusia dengan tempat ia hidup serta alam sekitarnya yang mempengaruhi kehidupan sosial kanak-kanak.

Menurut laman web National Council for the Social Studies, elemen tematik ini ialah elemen yang belajar mengenai kemanusiaan, tempat dan persekitaran yangn membolehkan kita memahami hubungan diantara demografi manusia dan dunia fizikal secara lebih tepat lagi. Murid-murid akan belajar mengenai tempat tinggal manusia dan tempat tinggal mereka sendiri. Pembelajaran ini juga termasuk dari sudut fizikal persekitaran seperti perubahan iklim, cuaca dan musim, sumber alam sekitar seperti tanah, bahan bakar dan juga pembelajaran tentang aspek kemanusiaan. Mereka juga belajar mengenai kesan, pola dan penyebab kepada pendudukan manusia dan mengapa manusia bermigrasi. Selain itu, mereka juga belajar mengenai pengkhususan pekerjaan dalam kehidupan manusia dan mengapa ianya diperlukan, menyiasat kesan aktiviti manusia kepada persekitaran. Ini membuatkan murid dapat mencapai ilmu pengetahuan asas mengenai pembuatan keputusan dan meningkatkan hubungan diantara manusia dalam persekitaran atau masyarakat.

Berlainan tempat tinggal akan memberi kesan kepada perbezaan kebudayaan, cara hidup, ideologi, pengkhususan pekerjaan dan kehidupan sosial sesuatu masyarakat. Komuniti masyarakat di pedalaman Keningau, Sabah berfikir secara amat berbeza daripada seseorang yang hidup di bandar Ipoh. Komuniti yang tinggal di kawasan tropika kelihatan amat berbeza dari mereka yang tinggal di kawasan sederhana ataupun artik. Kehidupan sosial kanak-kanak juga dipengaruhi oleh tempat alam sekitar. Perbezaan tempat ia dibesarkan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak itu sendiri dari segi personaliti, pemikiran, rutin harian, komunikasi, budaya dan sebagainya.

Sebagai contoh perbezaan tempat tinggal. Masyarakat yang tinggal di kota besar berbeza daripada masyarakat yang tinggal di perkampungan. Masyarakat kampung lebih menjurus kepada kegiatan ekonomi pertanian seperti pesawah, nelayan, tukang rumah dan sebagainya. Masyarakat kampung juga mempunyai kesedaran perpaduan antara komuniti masyarakat yang kuat sehinggakan mempertahankan kelompok dan nilainya adalah lebih penting daripada individu. Ini dapat dilihat melalui amalan gotong-royong yang kelihatan jelas berlaku dalam kehidupan masyarakat kampung. Sikap sahsiah masyarakat kampung juga lebih condong untuk kepentingan keluarga. Hubungan dengan ahli keluarga dengan jiran amat erat.

Justeru, kanak-kanak yang duduk di kampung atau desa mempunyai nilai-nilai seperti mana yang wujud dan berlaku dalam masyarakat setempatnya. Contoh kanak-kanak yang datang dari keluarga pelaut mempunyai kehidupan sosial yang sesuai dengan tempat tinggal serta geografinya seperti, bermain dengan rakan-rakan di kawasan pantai, bermain layang-layang, melakukan aktiviti menangkap ikan bersama-sama anak-anak jiran yang lain.

Anak-anak kampung juga seringkali dilatih untuk hidup bersama masyarakat. Kedua-dua ibubapa mereka akan membawa anak-anak mereka menyertai dalam setiap aktiviti masyarakat. Secara tidak langsung amalan kerjasama, hormat menghormati dan kemesraan dipupuk dalam diri kanak-kanak itu tadi melalui pemerhatian, ingatan dan peneguhan yang berulang kali.

Menurut Dr. Zahyah dalam bukunya Pengenalan Sosiologi Ferdinand Tonnies (1964) telah memperkenalkan suatu teori yang dinamakan teori konsep Gemeinschaft dan Gessellschaft. Gesellschaft merujuk kepada hubungan yang tidak rapat dalam sesebuah komuniti masyarakat dan mengamalkan sikap individualistik seperti kebanyakan masyarakat yang tinggal di kota-kota besar. Manakala Gemeinschaft merujuk kepada ahli masyarakat yang mempunyai hubungan rapat seperti yang berlaku dalam masyarakat desa dan perkampungan. Kesan dari konsep ini secara tidak langsung mewujud kawalan sosial yang tidak formal oleh masyarakat tersebut. Ini dapat mengawal tingkah laku kanak-kanak dibawah pengawasan jiran.

Persekitaran menjadi habitat bagi semua kehidupan termasuk manusia. Alam dikaitkan dengan bumi dan sumber-sumber alam seperti haiwan, iklim, tanah, air, dan sebagainya. Berdasarkan Arnold J. Toynbee dalam A study of History (1934), beliau menyatakan pendapatnya bahawa alam sekeliling menyebabkan wujudnya suatu peradaban manusia dan menjelaskan hubungan yang kuat antara alam dengan pembentukan ciri-ciri peradaban seperti peradaban India, China dan barat yang dijelaskan sebagai ‘jenis benua’, peradaban Maya yang dijelaskan sebagai ’jenis belantara’.

Menurut Fredenic Le Play, seorang ahli sosiologi dari Perancis telah menyatakan bahawa bentuk tertentu sesebuah keluarga itu adalah disebab oleh keadaan kerja yang pula ditentukan oleh persekitaran (nature) tempat keluarga itu tinggal. Bagi melibatkan faktor alam sekitar kepada kehidupan sosial kanak-kanak, antara contoh mudah ialah seorang kanak-kanak yang duduk di kawasan pedalaman seperti kanak-kanak dari masyarakat asli Che Wong di Malaysia, yang kehidupannya hanya meliputi sekitar hutan. Mereka melakukan aktiviti berburu, mencari hasil hutan dalam kehidupan mereka. Secara tidak langsung kehidupan sosial kanak-kanak juga dekat dengan alam sekitar seperti bermain di pinggir hutan, pergi berburu, bermain di sungai, menyumpit, mengetahui ilmu tentang tumbuhan herba dan peraturan permainannya juga mempunyai saling hubung dengan alam.

Maka jelas, manusia, tempat dan alam sekitar saling bergantungan. Corak hidup sosial kanak-kanak juga dipengaruhi tempat ia berada dan suasana alam sekitar. Tempat tinggal yang kondusif, hubungan masyarakat yang mesra, serta tiada pencemaran akan membantu kanak-kanak dalam perkembangan sosialnya. Aktiviti sosial kanak-kanak juga menjadi tidak terhad, kanak-kanak bebas melakukan aktiviti hariannya tanpa sekatan atau halangan sekitar.

3 - Individu, Kelompok & Institusi

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 575, individu ditakrifkan sebagai orang perseorangan. Kita harus menyedari bahawa kitalah yang menjadikan masyarakat itu hidup. Dari seorang individu sesebuah masyarakat terbentuk kesan dari terbentuknya komunikasi. Sesebuah masyarakat itu juga tidak akan bererti kecuali setiap individu itu nyata wujud. Sifat semulajadi manusia yang bergantung kepada orang lain dalam masyarakat.

Menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel (2009) dalam karyanya Perkembangan Kanak-kanak Untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan, beliau menerangkan bahawa Jean Piaget telah menafsirkan individu sebagai suatu ’pemikiran yang berpusat pada diri sendiri’ diperkembangkan kedalam ’penyelarasan yang rasional’ dan didalamnya timbul ’logik perhubungan’ diantara individu dengan dunia yang lain. Untuk mengaitkan dengan kehidupan sosial kanak-kanak, contoh terdekat adalah ketika kanak-kanak mula bermain, ia hanya meniru dan bermain untuk dirinya sendiri (secara individu), tapi kemudian kanak-kanak secara perlahan-lahan belajar bermain dengan orang lain.

Komunikasi dan interaksi sosial yang wujud antara individu dengan individu lain mewujudkan kelompok sosial. Ini kerana manusia tidak hidup berseorangan tetapi hidup bersama kelompok-kelompok manusia yang lain. Kelompok dapat didefinisikan sebagai dua atau lebih manusia yang diantara mereka terdapat pola saling tindakan yang dapat difahami oleh ahlinya atau orang lain. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, perkataan kelompok boleh didefinisikan sebagai himpunan beberapa orang, binatang atau benda dalam kumpulan yang kecil atau sederhana besar. Secara umumnya kelompok dirujuk sebagai sekumpulan manusia yang mempunyai sesuatu persamaan seperti tujuan, hobi, perangai dan sebagainya.

Mengikut laman web ensiklopedia Wikipedia, kelompok dapat dibahagikan kepada dua jenis kelompok iaitu kelompok primer dan kelompok sekunder. Walau bagaimanapun dalam konteks perbincangan ini fokus diberikan kepada kelompok primer yang banyak mempengaruhi kehidupan sosial kanak-kanak. Kelopok asas atau primer ini amat penting dalam membentuk personaliti kanak-kanak, konsep kendiri, harga diri dan dirinya diterima oleh masyarakat.

Kelompok sepermainan, kelompok jiran, kelompok sahabat rapat, kelompok keluarga adalah antara kelompok primer ataupun kelompok asas yang hampir dengan kanak-kanak. Kanak-kanak ini tadi akan mewujudkan interaksi yang rapat, intim antara satu sama lain dan memberikan sokongan hingga mewujudkan kemesraan dan rasa semangat kekitaan dalam ahli kelompoknya.

Menurut Mok Soon Sang (2009) dalam Perkembangan Kanak-kanak, Urie Bronfenbrenner (1979) telah memperkenalkan teori Bronfenbrenner pada tahun 1979 yang antara lain mengetengahkan idea bahawa kelompok asas ataupun primer ini dikenali sebagai persekitaran Mikrosistem iaitu meliputi ibubapa, rakan, adik beradik dan jiran terdekat. Persekitaran Mikrosistem ataupun kelompok asas adalah kelompok yang paling rapat dengan kanak-kanak. Kelompok asas seperti keluarga akan bertanggungjawab membentuk personaliti, cara kanak-kanak bersosial dan sebagainya. Kasih sayang yang sepenuhnya dari keluarga serta interaksi yang baik antara kanak-kanak dengan keluarganya akan membantukan dalam bermasyarakat dan membina keyakinan serta harga diri yang tinggi. Selain itu kelompok asas ini mewujudkan perasaan, semangat, nilai tingkah laku yang kuat antara rakan sepermainannya sehinggakan kanak-kanak agak sukar untuk berpindah ke tempat lain kerana keberatan meninggalkan kelompok asasnya itu tadi.

Daripada kelompok, terbentuk pula institusi. Institusi adalah pola aktiviti yang tetap yang tertubuh untuk memenuhi keperluan hidup manusia. Menurut Sumner (1840-1910) seorang pakar sosiologi Amerika telah menerangkan bahawa institusi adalah satu ’konsep bercampur struktur’. Institusi ini bukan sahaja pola yang dinyatakan di atas sahaja tetapi juga pola organisasi bagi melaksanakannya. Sebagai contoh, keluarga, pedidikan, ekonomi adalah antara bentuk institusi.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, institusi boleh ditakrifkan sebagi badan atau organisasi yang ditubuhkan dengan tujuan tertentu. Menurut kamus yang sama, institusi juga boleh ditakrifkan sebagai sesuatu yang sudah berakar umbi dan kukuh dalam masyarakat. Kini wujud banyak institusi namun dalam konteks perbincangan ini, institusi keluarga dipilih untuk membuat perkaitan yang jelas antara fungsi institusi terhadap kanak-kanak. Perlu diketahui bahawa keluarga memainkan peranan besar dala pembentukan sesebuah masyarakat. Keluarga terdiri daripada ibu bapa serta anak-anak serta tinggal sebumbung melalui suatu proses perkahwinan.

Ibu bapa dan ahli-ahli dalam keluarga tersebut mempunyai pola aktiviti yang tetap. Ini termasuklah fungsinya menjadi pelindung kepada ahli-ahlinya, menentukan taraf ahlinyanya, menjadi agen sosialisasi, membentuk kawalan sosial. Kanak-kanak yang datang dari sebuah institusi keluarga yang mengamalkan cara hidup positif akan menjadi kanak-kanak yang berfikir dan berkelakuan positif selaras dengan norma-norma serta nilai masyarakat.

Jika penggerak pola tersebut menjalankan sepenuhnya peranan yang sewajarnya dalam sebuah institusi kekeluargaan sehinggakan dapat mewujudkan keluarga yang bahagia pastinya institiusi tersebut akan dapat menghindarkan ahli-ahli dalam keluarganya daripada perkara negatif. Maka tidak akan ada kedengaran kanak-kanak diculik, dijadikan sebagai sumber ekonomi keluarga atau kejadian lari diri dan sebagainya.

4 - Perkembangan Individu & Identiti

Kewujudan konsep perkembangan individu secara holistik adalah seiring dengan kehendak pendidikan pada masa kini. Ini terbukti dengan wujudnya usaha yang berkesan dan berterusan untuk melahirkan individu yang bersahsiah, berketrampilan seterusnya seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Individu yang dilahirkan melalui proses pendidikan perlu mempunyai kemahiran, mempunyai pemikiran kreatif, rasional, keperibadian yang mulia dan seterusnya mampu memberi sumbangan ke arah kesejahteraan diri, keluarga serta kemakmuran masyarakat serta negara.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 730 dan 558, perkembangan bermaksud perihal proses berkembang iaitu menjadi maju dan tersebar, membiak, meluas dan tumbesaran. Manakala identiti membawa maksud sifat-sifat ataupun ciri-ciri seseorang yang terdapat padanya sesuatu yang menyeluruh.

Kesemua individu mempunyai lambang identiti mereka tersendiri. Identiti diri memberi satu gambaran menyeluruh tentang seseorang dan matlamat hidup yang ingin dicapainya. Setiap orang mempunyai identiti diri yang berlainan, maka dalam membina identiti diri, seseorang individu perlu berusaha untuk memperkemaskan dan meningkatkan potensi dan bakat masing-masing. Potensi ialah bakat, kebolehan dan kekuatan yang ada pada diri mereka. Potensi diri sebenarnya dapat dipupuk dan diasah melalui pendidikan dan latihan secara berterusan. Kanak-kanak berpotensi untuk mengembangkan diri sendiri dalam segenap aspek iaitu intelek, jasmani, emosi dan rohani seterusnya ianya membawa kepada perkembangan individu serta melahirkan kanak-kanak yang mempunyai matlamat hidup dalam dirinya.

Dengan ini seseorang kanak-kanak yang mempunyai identiti diri yang positif akan lebih yakin pada dirinya dan sentiasa ingin mengembangkan potensinya ke tahap yang lebih positif dan baik. Perkembangan potensi diri membolehkan seseorang mencapai kejayaan dan kesejahteraan hidup dalam komuniti bermasyarakat. Nilai sesebuah identiti diri dibentuk melalui proses didikan dan pengalaman serta perkembangan melalui komunikasi dan interaksi dengan individu lain dalam proses bersosialisasi. Ini menyebabbkan identiti diri memainkan peranan penting dalam membentuk perwatakan, sikap dan personaliti individu yang perlu dibangunkan ke arah menjadi insan yang baik, seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmaninya.

Perkembangan individu memerlukan nilai-nilai murni untuk dipupuk dalam diri setiap kanak-kanak. Terutama memberi khidmat budi kepada komuniti masyarakat, keagamaan dan negara. Justeru itu, keadaan ini amat membantu dalam aspek mendidik kanak-kanak untuk menjadi insan yang berguna dan berakhlak mulia dengan memberi penekanan kepada aspek perkembangan pemikiran, perasaan dan keperibadian. Identiti seseorang kanak-kanak dapat digilap dengan memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian (spiritual) dan moral kanak-kanak melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni. Ianya boleh menjadi panduan hidup bagi membolehkan kanak-kanak mengenali individu lain dengan baik. Insan yang berakhlak mulia akan dapat memberi sumbangan kepada perkembangan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, perkembangan individu dan identiti amat penting dalam perkembangan kanak-kanak. Malah, dalam proses tumbesaran, hal ini amat penting dalam mempengaruhi kehidupan sosial mereka. Pengenalan kepada identiti harus dititikberatkan.

5 - Sains, Teknologi & Masyarakat

Sains dan teknologi hari ini kian mendapat perhatian oleh seluruh masyarakat dunia. Namun apakah dia sains dan teknologi itu sendiri. Terdapat pelbagai pendefinisian yang boleh didapati dari pelbagai sumber. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1367 dan 1630, sains membawa maksud ilmu pengetahuan yang teratur (sistematik) yang boleh diuji atau dibuktikan. Manakala teknologi membawa maksud aktiviti ataupun kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industry, pertanian dan sebagainya.

Menurut laman web mengenai sains iaitu www.sciencemadesimple.com, perkataan sains berasal dari bahasa latin iaitu ‘scientia’, bermaksud ilmu pengetahuan. Menurut laman web tersebut, sains boleh didefinisikan "knowledge attained through study or practice," or "knowledge covering general truths of the operation of general laws, esp. as obtained and tested through scientific method [and] concerned with the physical world." Manakala menurut web ensiklopedia Wikipedia, perkataan technology berasal dari perkataan Greek iaitu ‘technolog√≠a’ membawa maksud seni, kemahiran dan pertukangan. Definisi teknologi mengikut Wikipedia ialah “the usage and knowledge of tools, techniques, crafts, systems or methods of organization in order to solve a problem or serve some purpose.”

Dengan adanya sains dan teknologi, ianya boleh membawa suatu perubahan dalam masyarakat samada dari sudut positif ataupun negatif. Sebagai contohnya teknologi yang dibawa dalam bidang perkilangan boleh menguatkan persatuan perusahaan secara positifnya tetapi kesan negatifnya ialah akan melemahkan kesatuan kerja tangan dan seni tangan. Hasil produktiviti telah dapat ditingkatkan dengan lebih cepat namun kekurangan yang ditunjukkan kesan dari teknologi adalah kurangnya guna tenaga manusia kerana penggunaan mesin, jentera dan alat robotik untuk mengeluarkan produk. Akibatnya akan wujudlah perubahan-perubahan sosial negatif ataupun positif dalam komuniti masyarakat.

Disamping itu, perubahan sains dan teknologi telah menggalakkan perkembangan pelbagai industri. Kilang-kilang dan kawasan perindustrian semakin banyak dibina bagi memenuhi keperluan-keperluan manusia. Peluang-peluang kerja terbuka dengan lebih luas sekali. Secara tidak langsung telah menggalakkan migrasi masyarakat luar bandar ke kawasan bandar yang dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan. Tambahan pula dengan wujudnya faktor penolak di kawasan luar bandar apabila teknologi menggantikan manusia dalam bidang pertanian dan penternakan. Penghijrahan masyarakat ini turut memberi kesan terhadap sosiobudaya mereka. Kanak-kanak yang berasal dari luar bandar yang berhijrah mengikut keluarga ke bandar akan mengalami suatu perubahan secara kejutan budaya dari segi budaya, sosial dan sebagainya. Kanak-kanak ini mungkin akan mengalami kejutan budaya mengejut kesan dari perubahan suasana masyarakat luar bandar kepada masyarakat bandar. Menurut Dr. Zahyah dalam karanya Pengenalan Sosiologi menerangkan kejutan budaya bermaksud perasaan yang bersifat mengelirukan (disorienting) dalam menekan (stressful) yang dialami oleh manusia apabila mereka memasuki ataupun mengalami persekitaran budaya yang asing.

Justeru, kesan sains dan teknologi perlu diihat dalam pelbagai aspek antaranya akibat-akibat bukan sahaja dari sudut positif malahan negatif. Perubahan teknologi maklumat dan komunikasi dalam bidang pendidikan misalnya telah meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia. Pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan berupaya membentuk pemikiran yang lebih luas dikalangan kanak-kanak. Kanak-kanak tidak lagi hanya berpegang kepada fungsi penelaahan buku semata-mata tetapi dapat menimba ilmu tanpa sempadan.

Perkembangan sains dan teknologi telah membawa perubahan sosial dalam masyarakat. Ini termasuklah dari segi fungsi masyarakat, keupayaan masyarakat dalam kelompoknya. Kesan perubahan ini akan membawa perubahan dalam dua sudut iaitu sudut positif dan negatif. Walaupun begitu tidak harus perubahan ini menyekat perkembangan sosial kanak-kanak, seharusnya ia mampu memberi faedah dalam meningkatkan mobiliti seorang kanak-kanak dan kehidupannnya secara menyeluruh.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...