+ KaJiaN SoSiaL +

FPK : Implikasi Pendidikan Islam Di Malaysia

| Tuesday, June 7, 2011
IMPLIKASI PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA

Menurut Mok Soon Sang (2010) dalam Falsafah Dan Pendidikan Di Malaysia menyatakan bahawa kemunculan falsafah pendidikan yang bersifat persekutuan dan berpusat akan membawa pelbagai implikasi terhadap sistem pendidikan negara kita. Beliau telah menggariskan empat implikasi yang biasanya terjadi kepada sistem pendidikan negara iaitu implikasi terhadap kurikulum, implikasi terhadap pendidik, implikasi terhadap kaedah pengajaran dan akhir sekali implikasi terhadap institusi pendidikan.

Implikasi terhadap kurikulum merupakan antara implikasi yang jelas kelihatan seandainya falsafah pendidikan islam dilaksanakan. Ini kerana kerangka kurikulum sudah tentunya akan berubah dan ada penambahbaikan. Strategi perlaksanaan dasar falsafah pendidikan islam memerlukan usaha daripada Kementerian Pendidikan dan dalam kalangan komuniti guru. Ini semua amat penting bagi memastikan bahawa falsafah pendidikan islam ini benar-benar berjalan. Perubahan sukatan pelajaran melalui kerangka utama pembelajaran akan menyaksikan pembelajaran dan pengajaran lebih berorientasikan kepada program bersepadu. Guru seharusnya memastikan segala ilmu yang diajar dihayati oleh kesemua pelajar. Bahan-bahan pengajaran juga akan lebih mengutamakan nilai-nilai moral dan akhlak dalam pembelajaran melibatkan semua mata pelajaran. Perubahan juga berlaku dalam program pendidikan kerana pendidikan islam mementingkan pengajaran yang disulam ajaran agama yang dapat menjadikan murid seimbang dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Implikasi yang seterusnya ialah implikasi terhadap pendidik. Menurut Mok Soon Sang (2010), akan berlaku perubahan sikap pendidik dan professionalnya untuk memastikan tugasan mengajar dengan tujuan dan dasar fasafah pendidikan islam adalah selari. Pendidik juga akan berubah dengan mempunyai pandangan dan visi yang lebih positif kepada amanahnya untuk memastikan amanahnya dijalankan dengan jayanya. Perubahan professional ini turut sama akan mengubah strategi dan teknik pengajarannya agar lebih sesuai kerana untuk melahirkan modal insan yang lebih berguna kepada negara. Selain itu, komuniti guru juga akan menjadi lebih bertanggungjawab kerana mereka merasakan bahawa mereka adalah role-model di sekolah kepada anak-anak didik.

Implikasi juga berlaku terhadap kaedah pengajaran di dalam kelas. Falsafah pendidikan islam menekankan penghayatan dalam pengajaran di mana segala ilmu itu haruslah dibuktikan dengan penghayatan dalam amalan seharian. Sebagai contoh sekiranya guru tersebut mengajar tentang ilmu alam sekitar seperti kajian tempatan yang menerangkan mengenai bentuk muka bumi, pengajaran juga haruslah disulamkan dengan penghayatan kepada keindahan dan keagungan ciptaan Allah Taala. Kerana itulah cara yang paling mudah untuk murid-murid bagi menghayati kehebatan kuasa Allah Taala, tuhan yang satu di muka bumi ini yang tidak diperanakkan dan tidak pula beranak. Ini kerana islam sangat mementingkan pendidikan. Menurut Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002), dengan pendidikan yang benar-benar berkualiti, maka akan terbentuklah individu yang akhirnya menghasilkan suasana kehidupan sosial yang bermoral.

Implikasi yang terakhir adalah implikasi yang berlaku terhadap institusi pendidikan. Perubahan organisasi sekolah ke arah mewujudkan situasi yang sesuai untuk melahirkan murid-murid mengikut tujuan dan cita-cita falsafah pendidikan islam. Perubahan juga akan berlaku dari sudut prasarana dan kemudahan infrastruktur. Sebagai contoh dari aspek keagamaan, kebanyakan sekolah-sekolah mempunyai surau bagi aktiviti keagamaan. Malah surau akan dijadikan sebagai suatu tempat khusus untuk melaksanakan aktiviti keagamaan disamping penggunaan dewan dan bilik komputer sekolah. Perubahan aktiviti budaya sekolah juga berubah dengan adanya pelbagai aktiviti keagamaan seperti bacaan doa, tahlil dan sebagainya. Pembentukan bi’ah solehah (suasana beragama) juga akan dipertingkatkan bagi memastikan falsafah pendidikan islam yang diamalkan betul-betul berkesan kepada para murid yang terlibat.

Islam amat menekankan aspek pendidikan kepada penganutnya. Disebabkan oleh itulah, Allah Taala telah menurunkan kalamNya yang pertama kepada Rasullullah S.A.W melalui perantaraan Jibrail A.S mengenai menuntut ilmu. Allah Taala itu maha pemurah lagi maha pengasihani, justeru pohonlah apa sahaja yang baik, nescaya Allah Taala akan makbulkan dengan syarat sentiasa mengingatiNya. Justeru untuk menjadi hambaNya yang dikasihiNya, maka tuntutlah ilmu yang bermanfaat sebanyak mungkin sehingga ajal menjemput balik ke sana. Disebabkan oleh itulah islam amat mementingkan pendidikan, malah pendidikan boleh dilaksanakan di mana sahaja tempat yang baik. Tidak semestinya hanya di sekolah dan surau serta masjid, malah di tengah-tengah padang pasir pun tidak mengapa. Ini kerana proses pendidikanlah yang menyebabkan umat islam kukuh dan hebat di dunia ini.

Menurut Sopwan Hadi (2010) dalam laman webnya, pendidikan merupakan suatu proses oleh generasi muda untuk mereka menjalani kehidupan dan memenuhi tujuan hidupnya secara lebih efektif dan efisien. Pendidikan lebih daripada pengajaran, kerana pengajaran sebagai suatu proses pemindahan ilmu pengetahuan, sedangkan pendidikan merupakan transformasi nilai dan pembentukan keperibadian dengan segala aspek yang dicakupinya. Perbezaan pendidikan dan pengajaran terletak pada penekanan pendidikan terhadap pembentukan kesedaran dan keperibadian anak didik di samping menyampaikan ilmu kepada kumpulan sasaran.

Pengertian pendidikan secara umum yang dihubungkan dengan Islam ialah pendidikan sebagai suatu sistem keagamaan. Ini secara tidak langsung menimbulkan pengertian-pengertian baru, yang secara implisitnya menjelaskan karakteristik yang dimilikinya. Menurut Nur Uhbiyati (1998) melalui Hidayatulhaq di dalam laman webnya, pendidikan Islam itu sendiri adalah pendidikan yang berdasarkan Islam. Isi ilmu adalah teori. Isi ilmu bumi adalah teori tentang bumi.

Maka isi Ilmu pendidikan adalah teori-teori tentang pendidikan, Ilmu pendidikan Islam secara lengkap bukanlah hanya sekadar teori. Tetapi perlu adanya penghayatan dan amalan dalam kehidupan.

Pengertian pendidikan islam adalah lebih luas skopnya. Pendidikan adalah aktiviti yang dirancang secara sedar untuk membantu seseorang atau sekelompok manusia dalam mengembangkan pandangan hidup, sikap, dan keterampilan hidup, baik yang bersifat luaran mahupun dalaman. Menurut Abdul Fatah Jalal melalui Hidayatulhaq di dalam laman webnya, tujuan umum pendidikan Islam ialah melahirkan hamba Allah Taala yang patuh padaNya. Jadi menurut Islam, pendidikan haruslah mampu menjadikan seluruh manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah Taala. Yang dimaksud menghambakan diri ialah beribadah kepada Allah dan taat pada perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Islam menghendaki agar manusia dididik supaya ia mampu merealisasikan tujuan hidupnya sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah. Tujuan hidup menusia hanyalah untuk beribadah kepada Allah. Seperti dalam surat Adz-Dzariyat ayat 56 :

“Dan Aku menciptakan Jin dan Manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku”.

Jalal juga menyatakan bahawa sebahagian orang hanya melihat ibadah itu dari skop yang terbatas iaitu seperti menunaikan solat, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, ibadah haji, serta mengucapkan syahadat. Tetapi sebenarnya ibadah itu mencakupi semua amal, fikiran, dan perasaan yang dihadapkan (atau disandarkan) kepada Allah. Aspek ibadah merupakan kewajipan orang islam untuk mempelajarinya agar ia dapat mengamalkannya dengan cara yang benar. Ibadah ialah jalan hidup yang mencakupi seluruh aspek kehidupan serta segala yang dilakukan manusia sama ada perkataan, perbuatan, perasaan, pemikiran yang bersangkutan dengan Allah Taala.

1 comments:

{ sharifah rasyidah } at: January 19, 2013 at 7:21 AM said...

sangat membantu ^^ terima kasih :)
*izin copy ye

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...