+ KaJiaN SoSiaL +

MdAB : Konsep & Aspek Alam Belajar

| Monday, June 13, 2011
KONSEP ALAM BELAJAR

Sejak dari kecil lagi, kita sentiasa mengalami proses pembelajaran yang berterusan tidak kiralah formal atau tidak formal. Justeru itu, suasana alam belajar yang kondusif pastinya bergantung kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan yang dijalankan oleh guru tidak kiralah di dalam bilik darjah ataupun di luar bilik darjah. Penglibatan yang aktif dan interaksi yang baik perlu diwujudkan antara guru dan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Untuk lebih memahaminya lagi,seorang guru perlu tahu konsep alam belajar itu sendiri dengan lebih mendalam lagi. Menurut Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), alam belajar merupakan keadaan atau suasana belajar yang dapat merangsang minat belajar kanak-kanak dalam mencapai matlamat perubahan tingkah laku.

Tiga aspek utama alam belajar

Terdapat tiga komponen penting dalam membantu pembentukan murid yang menyeluruh. Pertama ialah psikososial, kedua iaitu fizikal dan ketiga ialah komuniti pembelajaran.

a) Aspek psikososial

Faktor pertama iaitu psikososial merangkumi 4 elemen iaitu nada suara yang sesuai, saling berbudi bahasa, tingkahlaku yang diterima dan suasana yang kondusif. Faktor ini lebih memfokuskan kepada perasaan murid-murid yang berhubung dengan aspek keselamatan dan keselesaan mereka dengan persekitaran sekolah. Seorang guru yang prihatin terhadap kebajikan pelajar dan mudah didampingi, beramah-tamah, cekap, berkeyakinan diri dan mengambil berat tentang keselamatan dan keselesaan pelajar akan memenuhi keperluan-keperluan psikososial murid-murid yang diajar.

b) Aspek fizikal

Komponen fizikal meliputi semua keadaan fizikal seperti fizikal bilik darjah, bahan-bahan pelajaran, kemudahan dalam alam persekitaran (Mok Soon Sang, 2008). Bilik darjah yang kreatif serta kondusif dapat mengembangkan kreativiti pelajar (Azizi Jaafar, 2009). Bagi menggalakkan pemikiran kreatif, suasana bilik darjah yang selesa perlu disediakan. Oleh itu, terdapat berbagai-bagai cara penyusunan bilik darjah yang akan mencerminkan gaya pengajaran kita sebagai guru.

Antara cara penyusunan bilik darjah menurut Choong (2008) ialah:

Gaya auditorium iaitu gaya penyusunan tradisional di mana murid-murid duduk menghadap guru.
Gaya bersemuka iaitu gaya murid-murid duduk menghadap satu sama lain di dalam kumpulan seramai enam atau lapan orang.
Gaya Off-set memerlukan tiga atau empat orang murid-murid duduk pada meja tetapi tidak menghadap sesama mereka.
Gaya seminar iaitu kumpulan murid-murid yang terdiri daripada 10 atau lebih orang duduk dalam bulatan, segiempat sama atau berbentuk-U.
Gaya Kluster terdiri daripada 4 hingga 8 orang murid duduk dalam kumpulan yang dekat dan rapat.

c) Aspek komuniti pembelajaran

Secara amnya, komuniti memfokuskan sekumpulan manusia yang belajar bersama dalam persekitaran selesa untuk menggalakkan aktiviti berdialog, maklum balas, refleksi dan penurunan kuasa. Menurut Choong (2008), ciri-ciri komuniti pembelajaran merangkumi kolaborasi sesama murid melalui pembelajaran koperatif, penglibatan murid-murid dalam pengalaman berkolaborasi bersama rakan sebaya mereka, sumber jaringan sokongan akademik dan sosial dan yang terakhir fokus kepada pembinaan pengetahuan dan hasil pembelajaran. Menurut McMilan dan Cavis (1986) pula komuniti mempunyai 4 ciri iaitu keahlian, pengaruh, memenuhi keperluan individu dan berkongsi peristiwa atau tindakan dan perasaan (Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009)

Teori Ekologi Bronfenbrenner

Aspek komuniti pembelajaran sering dikaitkan dengan Teori Ekologi (2004) Bronfenbrenner. Menurut Mok Soon Sang (2008), teori ini memfokuskan kepada pengaruh sosiobudaya persekitaran terhadap perkembangan individu dari lahir hingga dewasa. Terdapat lima sistem ekologi di dalam teori ini iaitu :

a) Mikrosistem
b) Mesosistem
c) Ekosistem
d) Makrosistem
e) Kronosistem

Melalui teori Ekologikal Bronfenbrenner, kita dapat menilai dan mengkaji setiap implikasinya kepada pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Mok Soon Sang (2008) menyatakan bahawa peranan-peranan komuniti dan sosiobudaya serta kedudukan sosioekonomi perlu dikenalpasti kerana ia dapat mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Pengalaman Belajar Kanak-Kanak

Pengalaman langsung merupakan belajar melalui proses membuat, mengalami atau melalui sendiri apa yang hendak dipelajari (Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009). Ia berpegang pada prinsip pembelajaran eksperiential John Holt (1995). Pengalaman langsung boleh dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu belajar dengan sendiri dan belajar melalui pengajaran guru. Guru bertanggungjawab mengurus pengalaman langsung dan membuat perancangan rapi hasil penilaian kendiri pengajarannya (Choong, 2008).

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...