+ KaJiaN SoSiaL +

MdAB : Teori Pembelajaran Konstruktivis

| Monday, June 13, 2011
TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVIS

Menurut Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), konstruktivis bermaksud pembinaan pengetahuan. Individu sentiasa membina pengetahuan sendiri berasaskan premis pengetahuan atau pengalaman sedia ada kepada pengetahuan dan pengalaman baru. Teori ini terbahagi kepada dua jenis iaitu kognitif dan sosial.

Teori Konstruktivis Kognitif

Teori ini dipelopori oleh Jean Piaget (1896-1980) dan menurut beliau di dalam Choong (2008), struktur kognitif kanak-kanak semakin kompleks selaras dengan perkembangan yang dilalui. Sesuatu organisma untuk menyesuaikan diri (adaptasi) dengan persekitaran dikaji oleh Piaget dan hasilnya, terdapat dua proses membuat adaptasi iaitu asimilasi dan akomodasi. Proses asimilasi adalah proses mengintegrasi maklumat atau pengalaman baru ke dalam skema sedia ada dan akomodasi pula ialah proses mengubah struktur kognitif untuk menerima sesuatu daripada persekitaran.

Berdasarkan pemerhatian dan kajian Piaget, beliau mendapati perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat iaitu peringkat sensorimotor (lahir-2 tahun), pra operasi (2-7 tahun), operasi konkrit (7-11 tahun) dan peringkat operasi formal (11 tahun ke atas). Pada peringkat operasi konkrit, pembelajaran berkesan bergantung kepada objek-objek konkrit dan pengalaman secara langsung.

Teori Konstruktivis Sosial

Teori ini menekankan hubungan dan bimbingan orang lain ke atas pembelajaran individu. Lev Vygotsky adalah pelopor teori ini dan beliau berpendapat bahawa pembelajaran dapat berlaku melalui bermain, penyampaian formal atau kerjasama antara pelajar dengan pelajar yang lebih berpengalaman. Persekitaran yang kondusif dapat memberikan mereka peluang untuk memanipulasi objek sedia ada dan guru perlu memainkan peranan sebagai fasilitator dalam proses pembinaan pembelajaran murid-murid kita.

Zon Perkembangan Terdekat

Zon Perkembangan Terdekat (ZPD) merujuk kepada tugasan pembelajaran yang sukar dilakukan sendiri oleh pelajar, tetapi dapat menguasainya dengan bimbingan orang lain yang lebih mahir (Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009). Teknik scaffolding dapat membantu pelajar menguasai isi pelajaran mengikut kemampuan mereka. Teknik yang digunakan untuk scaffolding ialah soal jawab, penjelasan verbal, prompting dan cueing.

Implikasi Teori Konstruktivis terhadap pengajaran dan pembelajaran

Sebagai guru, kita perlulah membuat perancangan dan melaksanakan strategi-strategi pengajaran untuk mengajar serta mengambil kira keupayaan pelajar kerana pembelajaran kini lebih berpusatkan pelajar itu sendiri. Teknik Zon Perkembangan Terdekat harus digunakan untuk memastikan pembelajaran berkesan berlaku. Guru perlu mengaitkan isi pelajaran dengan situasi sebenar di samping penerangan yang jelas, selaras dengan pemikiran dan laras bahasa pelajar.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...