+ KaJiaN SoSiaL +

MdAB : Teori Pembelajaran Kognitif

| Monday, June 13, 2011
TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF

Teori ini menekankan kepada proses mental kanak-kanak. Teori ini juga berasaskan prinsip pembelajaran kognitif yang menerangkan bagaimana pelajar menerima, memproses, menyimpan dan mencari maklumat dalam memori (Ertmer & Newby, 1993).

Teori Pembelajaran Gestalt

Pengasas psikologi gestalt, Wolfgang Kohler mengemukakan Teori Pembelajaran Celik Akal yang mengkaji seekor cimpanzi bernama Sultan. Celik akal bermaksud penyelesaian masalah yang berlaku mendadak dan lengkap. Individu memerlukan masa untuk berfikir kerana dia perlu melihat unsur-unsur berkaitan di dalam persekitarannya dan mengaitkannya dengan pengalaman lepas. Pandangan beliau lebih bertumpu pada tingkah laku yang boleh diperhatikan prinsip yang berkaitan dengan organisasi persepsi dan penanggapan manusia.

Dalam kajiannya, seekor cimpanzi diletakkan ke dalam sangkar. Di luar sangkar terdapat sebiji pisang dan beberapa batang buluh yang panjangnya berbeza. Sultan menggunakan buluh tersebut untuk mendapatkan pisang tetapi gagal. Sultan diam seketika, memikirkan cara untuk menyelesaikan masalahnya. Tiba-tiba dia mendapat idea. Di saat tercetusnya idea itulah yang dikenali sebagai celik akal. Dia mengambil buluh pendek dan menggunakannya untuk mendapat buluh panjang dan seterusnya menggunakannya untuk mengambil pisang.

Teori Pembelajaran Penerimaan Ausuble

Teori ini dipelopori oleh David Ausuble (1918-2008). Menurut Kamarudin (1993), teori ini berfokuskan kepada penguasaan maklumat melalui bahasa yang bermakna. Aspek yang penting di dalam teori ini ialah Advance Organizer yang merupakan unit pengajaran yang digunakan sebelum mengajar satu topik baru.

Ausuble berpendapat bahawa manusia memperoleh ilmu kebanyakannya dalam bentuk pembelajaran resepsi yang dikenali sebagai Model Pembelajaran Ekspositori. Model ini menekankan keterangan bahan pembelajaran guru dalam bentuk fakta yang tersusun dan dijelaskan mengikut urutan lengkap.

Penyusunan awal (Advance organizer) terbahagi kepada beberapa jenis iaitu ekspositori yang memerihalkan bahan, comparative yang membina kaitan luaran dengan pengetahuan sedia ada, sesuai dengan maklumat baru dan naratif yang mempersembah bahan baru dalam bentuk cerita. Kaedah ini dapat memudahkan pembelajaran dari aspek pemahaman, maklumat lengkap dan mengingat kembali. Ausuble mencadangkan kepada guru supaya menggunakan pembelajaran resepsi (penerimaan) dan penyusunan awal dalam setiap pengajaran mereka.

Teori Pembelajaran Bruner

Jerome S.Bruner (1915 hingga kini) mengemukakan perkembangan mental manusia kepada 3 tahap iaitu peringkat enaktif, berasaskan perlakuan (0-2 tahun), peringkat ikonik, berasaskan imejan (2-4 tahun) dan peringkat simbolik, berasaskan bahasa (5-7 tahun). Bruner menghuraikan enam ciri perkembangan kognitif iaitu keupayaan kawalan emosi, keupayaan menyerapkan peristiwa, keupayaan penggunaan perkataan dan simbol, pertambahan aktiviti tindak balas, penggunaan bahasa dan keupayaan menghadapi berbagai situasi. Pembelajaran teori penemuan ini merujuk kepada bagaimana kita membezakan dan mengkategori benda atau perkara yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Pembelajaran penemuan merupakan pembelajaran dalam bentuk inkuiri yang melibatkan situasi penyelesaian masalah yang dilalui sendiri oleh pelajar (Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009).

Implikasi teori pembelajaran kognitif terhadap pengajaran dan pembelajaran

Guru hendaklah menjadi fasilitator semasa mengajar. Mereka perlu menyusun maklumat yang ingin disampaikan supaya murid dapat mengaitkan konsep baru dengan pengetahuan yang sedia ada. Aktiviti dan alatan yang sesuai perlu dibekalkan kepada murid-murid mengikut tahap kebolehan mereka. Selain itu, guru perlu mengenalpasti murid-murid yang berada pada mod pembelajaran berbeza sama ada enaktif, ikonik atau simbolik.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...