+ KaJiaN SoSiaL +

MdAB : Main Dalam Pembelajaran Murid-murid

| Monday, June 13, 2011
PERANAN DAN KEPENTINGAN MAIN
DALAM PEMBELAJARAN MURID-MURID

KONSEP MAIN

Sebagai bakal guru, pernahkah kita terfikir bahawa kanak-kanak amat memerlukan main dalam perkembangan kognitif, psikomotor dan afektif. Menurut Choong (2008), main merujuk kepada sesuatu aktiviti yang bermotivasi intrinsik serta menyeronokkan kepada individu yang berkenaan. Kamus Webster dalam Choong (2008) pula menyatakan konsep main sebagai pergerakan laju dan berubah- ubah sebagai contoh, kanak-kanak berpura-pura menjadi jet pejuang, kereta lumba. Konsep kedua menyatakan main peranan adalah satu watak sebagai contoh kanak-kanak berpura-pura menjadi seorang guru, emak, dan sebagainya. Main juga sebagai rekacipta sesuatu iaitu kanak-kanak mencipta kreativiti mereka dengan bermain susunan blok. Main juga dikonsepkan sebagai senaman sebagai contoh bermain ting-ting, konda-kondi dan sebagainya. Ia mencipta keseronokan atau gurauan seperti permainan sorok-sorok, permainan lari ikat kaki, dan sebagainya.

Bermain juga mempunyai tiga konsep iaitu main bebas, main terkawal, dan main terarah (Azizi Jaafar, 2009). Menurut Noriati, Boon, Sharifah Fakhriah (2009), main adalah simbolik, bermakna, menyeronokkan, sukarela dan bermotivasi intrinsik, berperaturan dan berbentuk episodik (Fromberg,1987). Main juga ialah sukarela, penglibatan dan pergerakan fizikal aktif serta kualiti yang melibatkan imaginasi (Pellegrini,1995).

KEPENTINGAN MAIN DALAM PEMBELAJARAN

Terdapat tiga aspek yang dilihat dalam mengkaji kepentingan bermain kepada kanak-kanak iaitu aspek perkembangan intelek, sosioemosi dan fizikal.

a) Perkembangan Intelek

Melalui perkembangan intelek, kanak-kanak dapat mengetahui tahap keupayaan, kesediaan dan kecerdasan untuk belajar. Kanak-kanak juga akan mempelajari dan mengetahui pelbagai kemahiran sekaligus dapat membantu mereka berfikir dengan lebih kreatif dan logik. Mereka juga dapat menambahkan maklumat tambahan ke dalam minda dan akan mengembangkan potensi pemikiran kanak-kanak dalam mendedahkan mereka cara menyelesaikan masalah.

b) Perkembangan Sosioemosi

Bermain sangat penting dalam memupuk interaksi kanak-kanak dengan rakan-rakan mereka, guru-guru dan orang-orang di sekeliling mereka termasuklah dengan ibu bapa. Menurut teori instinct (naluri), alam kanak-kanak merupakan tempoh persediaan diri untuk ke alam dewasa (Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009). Mereka akan dapat mengenali dan mengetahui bahawa emosi seseorang mungin berbeza mengikut situasi tertentu dan tahu bagaimana cara untuk mengawal emosi tersebut. Bermain juga dapat meningkatkan keyakinan dan keberanian diri kanak-kanak supaya tidak malu untuk bersosial dengan orang lain.

c) Perkembangan Fizikal

Kanak-kanak perlu mengutamakan kesihatan dan keselamatan mereka semasa bermain. Pendedahan kepada permainan dalaman (indoor game) dan permainan luaran (outdoor game) perlu diterapkan agar mereka sentiasa diberi peluang untuk menyertai dan menunjukkan bakat yang terpendam. Melalu bermain, kemahiran psikomotor dapat dibina dan ia juga dapat meningkatkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan serta dapat mengeluarkan perasaan takut dan bimbang kepada peringkat sedar (Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009).

KATEGORI MAIN

Menurut Choong (2008) dan Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), main dapat dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu permainan sosial dan permainan kognitif.

1. Main sosial

Mildred Parten (1932) telah mengkategorikan main sosial kepada enam peringkat dan empat daripadanya ialah Main Unoccupied iaitu kanak-kanak tidak bermain apa-apa alatan atau dengan sesiapa pun. Mereka hanya memerhati tanpa melakukan sesuatu. Main Solitary iaitu kanak-kanak main secara perseorangan. Mereka bermain tidak melibatkan orang lain yang berhampiran dengannya. Ini bermakna, kanak-kanak akan mengabaikan apa yang dilakukan kanak-kanak lain yang ada dalam bilik yang sama.

Main Onlooker iaitu kanak-kanak memerhatikan kanak-kanak lain bermain tetapi tidak melibatkan diri dalam permainan. Main Parallel iaitu kanak-kanak bermain sendirian tetapi menggunakan cara dan alatan yang sama. Walaupun mereka berkongsi alat permainan tetapi mereka bermain sendiri-sendiri.

2. Main Kognitif

Terdapat tiga peringkat dan kategori main menurut Piaget (1962) iaitu Main Latihan yang melibatkan daya motor untuk meneroka rupa bentuk objek dan cuba memahami apa yang boleh dibuat dengan objek berkenaan. Main Simbolik melibatkan kanak-kanak menukar sesuatu objek kepada sesuatu yang lain. Main yang berperaturan di mana kanak-kanak menggunakan peraturan bagi aktiviti main mereka. Menurut Choong (2008) pula, terdapat lima jenis main kognitif iaitu main fungsian, main konstruktif, main fantasi, main dramatik dan mainan yang berperaturan.

CIRI-CIRI MAIN

Antara ciri-ciri main ialah :

I. Motivasi intrinsik. Ia tidak bergantung kepada ganjaran untuk bermain. Kanak-kanak suka bermain kerana keseronokan yang dialami.

II. Fokus kepada fungsi. Kanak-kanak bermain dengan menitikberatkan unsur kegunaan aktiviti main.

III. Penglibatan yang aktif. Kesemua deria dimanfaatkan dalam proses pembelajaran dan juga ketika mereka bermain.

IV. Bebas untuk memilih. Kanak-kanak berhak memilih jenis permainan yang mereka suka untuk belajar dan meneroka persekitaran. Main ialah pilihan dan rekaan kanak-kanak (Garvey, 1991 dalam Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009).

V. Tidak bermatlamat. Kanak-kanak agak sukar menyatakan tujuan mereka bermain sesuatu permainan itu.

VI. Mempunyai kesinambungan. Kanak-kanak biasanya terlalu khusyuk bermain hingga “lupa diri” dan perlu diingatkan untuk makan, mandi dan sebagainya.

VII. Penerokaan. Kanak-kanak akan meneroka setiap permainan dan proses, resos, rakan. ia sesuatu yang baharu dan masing-masing mempunyai kelainannya.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...