+ KaJiaN SoSiaL +

Sosiologi : Punca Masalah Sosial Masa Kini

| Thursday, June 9, 2011
PUNCA PERMASALAHAN SOSIAL MASA KINI

1.0 Punca Masalah Sosial Umum

Masyarakat Melayu mengalami perubahan struktur dan organisasi setelah Tanah Melayu dijajah seluruhnya oleh Inggeris British. Penjajahan Inggeris memperkenalkan bukan sahaja dasar-dasar baru dalam bidang politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain-lain, tetapi juga nilai-nilai baru yang terselindung di sebalik dasar-dasar tersebut. Orang Melayu, sama ada secara sedar atau tidak, turut mendokong nilai-nilai tersebut setelah menerima (secara paksaan atau terpaksa) dasar-dasar penjajahan dalam bidang-bidang yang disebutkan di atas.

1.1 Pengaruh Budaya Asing

Menurut Hashim bin Haji Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd Fahmi bin Mohd Sahid & Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor dalam kertas kerja Seminar Kaunseling Keluarga 2008 di UTM Skudai bertajuk Keruntuhan Akhlak Dan Gejala Sosial Dalam Keluarga: Isu Dan Cabaran, mereka mengelaskan pengaruh budaya asing kepada beberapa jenis. Antaranya ialah pengaruh dari barat, skinhead, punk dan juga black metal.

i - Pengaruh Budaya Barat

Kewujudan elemen-elemen baru yang diperkenalkan oleh penjajah dengan amalan-amalan tradisi orang Melayu, banyak mewujudkan konflik dan ketegangan. Konflik dan perbalahan ini, terutamanya atas paras nilai, berlarutan hingga ke hari ini walaupun negara kita telah bebas dari cengkaman penjajah British. Ini kerana, pengaruh barat dan nilai-nilai dari barat terus melanda, malah menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat warganegara. Program-program pembangunan dan perindustriaan yang dilancarkan oleh negara-negara membangun termasuk Malaysia hari ini, masih mengambil model barat. Begitu juga dengan perkembangan teknologi maklumat menjadikan dunia kini semakin kecil. Segala perkembangan yang berlaku terutamanya, di negara-negara maju di Barat, akan tersebar dengan begitu cepat di seluruh dunia. Pengaruh barat ini dapat dilihat yang mana semakin menular dalam kalangan masyarakat kita hari ini terutamanya golongan muda-mudi yang mudah terpengaruh dengan aliran muzik dan budaya Barat seperti Black Metal, Punk dan Skinhead. Aliran-aliran ini jelas sama sekali bertentangan dengan ajaran agama Islam.

ii - Pengaruh Skinhead

Skinhead adalah suatu sub-budaya yang lahir di London, Inggeris pada akhir tahun 1960-an. Sekarang Skinhead sudah menyebar ke seluruh belahan bumi. Nama Skinhead merujuk kepada para pengikut budaya ini yang rambutnya dicukur botak. Meskipun Skinhead banyak dikelaskan sebagai kelompok orang-orang yang rasis dan Neo-Nazi, namun Skinhead yang sebenarnya tidaklah Neo-Nazi, kerana pada awalnya Skinhead adalah kaum tertindas dari kelas pekerja (utamanya buruh pelabuhan) di London, Inggeris. Skinhead juga bisa merujuk kepada kepada kelompok orang (biasanya remaja) yang merupakan peminat musik streetpunk dan juga punk. Sejak tahun 1990 lagi, budaya Skinheads telah dibawa masuk ke Malaysia. Namun pada masa itu golongan Skinheads adalah terlalu kecil. Pada tahun 1992 budaya Skinheads telah berkembang, ini kerana Singapura merupakan sumber maklumat tentang budaya Skinheads. Skinheads di Malaysia sering berulang alik dari Singapura ke Malaysia untuk mendapatkan maklumat tentang Skinheads. Pada mulanya golongan Punk Rock di Malaysia yang berperanan memperkembangkan budaya Skinheads. Ini adalah kerana pada masa itu masyarakat memandang serong tentang budaya Punk Rock.

iii - Budaya Punk

Punk pula lahir di London, Inggeris. Sejak tahun 1980-an, saat punk bermaharalela di Amerika, golongan punk dan skinhead seolah-olah bersatu, kerana mempunyai semangat yang sama. Namun, Punk juga dapat bererti jenis muzik atau genre yang lahir di awal tahun 1970-an. Punk juga boleh diertikan sebagai ideologi hidup yang mencakupi aspek sosial dan politik. Gerakan anak muda yang digagaskan oleh anak-anak kelas pekerja ini dengan segera membantah. Amerika yang mengalami masalah ekonomi dan kewangan yang dipacu oleh kemerosotan moral oleh para tokoh politik yang memicu peningkatan pengangguran yang tinggi.

Banyak yang menyalahertikan punk sebagai glue sniffer dan perusuh kerana di Inggeris pernah terjadi wabak penggunaan gam berbau tajam untuk mengganti bir/arak yang tak terbeli oleh mereka. Punk lebih terkenal dalam perekaan fasyen yang dikenakan dan tingkah laku yang mereka perlihatkan, seperti potongan rambut mohawk ala suku indian, atau dipotong ala feathercut dan diwarnai dengan warna-warna yang terang, sepatu boots, rantai dan spike, jaket kulit, celana jeans ketat dan baju yang lusuh, anti sosial, kaum perusuh dan penjenayah kelas rendah, pemabuk berbahaya sehingga banyak yang mengira bahawa orang yang berpenampilan seperti itu sudah layak untuk disebut sebagai punker.

iv - Pengaruh Black Metal

Black Metal merujuk kepada muzik yang mempunyai ciri-ciri khusus. Antaranya adalah ia mencemuh semua agama kecuali pagan. Oleh itu Black Metal boleh dianggap sebagai muzik keagamaan pagan. Dengan itu sebarang dakwaan bahawa muzik Black Metal tidak mencemuh agama meletakkan kelompok yang sedemikian terkeluar daripada Black Metal. Sementara yang mendakwa mereka merupakan pengikut Black Metal meletakkan diri mereka terkeluar daripada semua jenis agama. Pada 23 Januari 2006, Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia telah memutuskan bahawa aliran muzik Black Metal dikategorikan sebagai ajaran sesat dan boleh menjejaskan akidah mereka yang mengamalkannya.

Sejarah Black Metal mengisahkan pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, satu daripada tokoh terkenal di Norwegian adalah Oystein Aarseth, lebih dikenali sebagai Euronymous, pemain gitar Mayhem. Keadaan itu amat anti-Kristian: ia menegaskan bahawa matlamatnya adalah menghilangkan pengaruh Kristian dan semua agama bukan Scandinavian daripada kebudayaan Norwegian dan mengembalikan negara tersebut kepada asas Norse. Salah satu daripadanya, mempunyai kaitan dengan NSBM. Pergerakan ini dipengaruhi oleh 'Inner Circle', yang dianggotai oleh Aarseth dan beberapa sahabatnya, daripada bilik bawah tanah kedai rekod Aarseth, Helvete (Hell). Lokasi tersebut turut mempunyai studio rakaman, di mana rekod yang dihasilkan oleh Mayhem dan beberapa kumpulan muzik lain yang terikat dengan label bebas Aarseth, Deathlike Silence Productions. Matlamat yang dinyatakan bagi Deathlike Silence merupakan "menerbitkan rekod oleh kumpulan pemuzik yang merupakan kebangkitan kejahatan dalam bentuk paling sempurna".

1.2 Faktor Keluarga

Menurut Lokman Mohd Hashim (2009) dalam artikel di blognya bertajuk Masalah Sosial Di Kalangan Remaja : Punca Dan Penyelesaian, antara faktor yang menjadi pemangkin kepada kepincangan sosial dalam masyarakat ialah faktor keadaan keluarga dari pelbagai aspek. Bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.

Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakukan dan pergaulan anak remaja mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.

Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral. Justeru, sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya menjalankan kewajipan dengan merancang aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa.

1.3 Perasaan Ingin Tahu Bersama Rakan-rakan

Menurut Hashim bin Haji Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd Fahmi bin Mohd Sahid & Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor dalam kertas kerja Seminar Kaunseling Keluarga 2008 di UTM Skudai bertajuk Keruntuhan Akhlak Dan Gejala Sosial Dalam Keluarga: Isu Dan Cabaran, mereka menerangkan bahawa remaja ialah mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Pada peringkat usia ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Justeru apa-apa sahaja perkara baru yang terjadi di sekeliling mereka akan mengundang perasaan ingin tahu dalam kalangan remaja.

Secara tidak langsung membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan perkara-perkara tersebut. Perasaan begitu sebenarnya adalah baik untuk remaja, namun yang menimbulkan masalah apabila mereka tiada ‘guide line’ dari orang-orang yang sepatutnya, umpamanya para ibu bapa, keluarga, jiran dan sebagainya. Jadi perasaan ingin tahu remaja akan mendorong mereka melakukan apa ingin dilakukan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara perkara tersebut.

Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial.

1.4 Ancaman Media Massa

Menurut Mazlan (2008) dalam artikel di laman blognya yang bertajuk Punca-punca Dan Cara-cara Mengatasi Masalah Disiplin mengatakan kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonoh yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pemuda amnya dan pelajar khasnya. Kebanyakan masalah sosial dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, gejala sosial mempunyai kaitan rapat dengan kejadian pelanggaran norma sosial oleh pemuda dikala ini.

Menurut Lokman Mohd Hashim (2009) dalam artikel di blognya bertajuk Masalah Sosial Di Kalangan Remaja : Punca Dan Penyelesaian, pengaruh persekitaran luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.

Menurut Hashim bin Haji Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd Fahmi bin Mohd Sahid & Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor dalam kertas kerja Seminar Kaunseling Keluarga 2008 di UTM Skudai bertajuk Keruntuhan Akhlak Dan Gejala Sosial Dalam Keluarga: Isu Dan Cabaran, media massa menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala sosial dalam kalangan para remaja hari ini. Tidak semuanya apa yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk. Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas dalam kalangan remaja, program-program realiti televisyen, serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan semata-mata mempengaruhi para remaja dengan perkara yang tidak baik. Umpamanya corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara barat. Terdapat juga unsur-unsur lucah dan mengghairahkan terdapat dengan mudah dipasaran sama ada dalam bentuk bercetak, CD, atau lain-lain selain dari itu bahan media ini mudah diperolehi.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...