+ KaJiaN SoSiaL +

FPK : Pendahuluan FPK

| Tuesday, June 7, 2011
PENDAHULUAN FALSAFAH & PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Dunia kehidupan kanak-kanak penuh dengan warna-warni, suka duka dan hilai tawa yang mempengaruhi perkembangan dan pertumbesarannya. Kehidupan kanak-kanak sentiasa dipengaruhi persekitaran sosialnya yang dilalui setiap hari. Kanak-kanak akan membina hubungan sosial bermula dengan mereka yang paling hampir dengan dirinya seperti membina hubungan kasih sayang dengan ibu bapa, adik beradik, rakan sebaya, guru, dan peringkat seterusnya. Maka dalam membina kehidupan sosial kanak-kanak terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi termasuklah strand tematik.

Kajian ilmiah ini membincangkan bagaimana strand atau elemen tematik yang mempengaruhi kehidupan sosial kanak-kanak. Elemen tematik dalam pengajian sosial digunakan bagi melahirkan generasi yang berguna kepada diri masyarakat dan negara. Banyak kebaikan yang dapat dilihat bagaimana pengajian sosial dapat membantu perkembangan kanak-kanak.

1 - Pendidikan Dan Falsafahnya

Menurut Mok Soon Sang (2010) dalam karyanya Falsafah Dan Pendidikan Di Malaysia. Pendidikan mengikut pandangan umum ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Secara khususnya, pendidikan boleh diertikan sebagai aktiviti persekolahan. Ini bermakna pendidikan merupakan aktiviti-aktiviti yang mempunya objektif, rancangan dan organisasi untuk mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan menguasai kemahiran tertentu, demi berupaya menyesuaikan diri dalam masyarakatnya pada masa hadapan.

Usaha utama pendidikan adalah untuk menyediakan seseorang individu memainkan peranan yang positif dan berkesan dalam masyarkat. Di dalam usaha ini juga, pendidikan menjadi suatu agen untuk menyebarkan dan mengekalkan kebudayaan yang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan semasa. Dalam masyarakat moden ini, pendidikan adalah amat penting untuk menyediakan ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi cabaran kehidupan dan pembaharuan serta membuat pengubahsuaian kendiri demi memberi sumbangan untuk pembangunan masyarakat.

Menurut Sharifah Alwiah Alsagoff (1984) dalam bukunya Falsafah Pendidikan melalui Mok Soon Sang (2010), beliau telah menghuraikan pengertian pendidikan yang merupakan suatu proses yang terdiri daripada tujuh bahagian iaitu pertama, pendidikan sebagai proses persekolahan formal. Kedua ialah pendidikan sebagai proses perkembangan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang. Ketiga, pendidikan sebagai proses doktrinisasi dengan tujuan agar murid akan mempercayai apa yang disampaikan. Keempat, pendidikan sebagai suatu proses latihan. Kelima, pendidikan sebagai proses berterusan untuk kemajuan individu seumur hidup. Keenam, pendidikan sebagai aktiviti bersepadu untuk mencapai matlamat seperti memperolehi kemahiran pengetahuan dan sikap dengan integrasi dan ketujuh iaitu yang terakhir, pendidikan sebagai suatu disiplin, seni dan sains.

Ramai pendidik umumnya mentafsirkan pendidikan sebagai suatu proses penyediaan kanak-kanak untuk menghadapi cabaran kehidupan masa depan mereka dan membina sahsiah dengan harmonis dan seimbang.

Untuk memastikan dasar pendidikan kebangsaan sentiasa berada di paksi dan landasan yang betul, kerajaan telah menggubal suatu dasar pendidikan yang menjadi panduan kepada pembuat dasar pendidikan pada masa kini. Dasar ini telah digubal 1988 dan diumumkan ke seluruh negara mengenai perlaksanaannya. Masyarakat guru merupakan suatu komuniti yang paling penting untuk difahamkan mengenainya. Pendidikan menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah :

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Antara peranan falsafah pendidikan negara dalam membangunkan potensi murid dan pelajar dalam negara ialah falsafah pendidikan negara sebagai penyuluh yang memberi panduan dan arah tuju kepada segala usaha mengembangkan dan memajukan pendidikan. Falsafah pendidikan negara turut menjadi dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan Negara. Ianya juga bertindak sebagai rujukan untuk membantu pendidik memahami sistem pendidikan negara. Selain itu, falsafah pendidikan negara sebagai bimbingan untuk para pendidik semasa mereka melaksanakan tugas pendidikan. Kerajaan juga perlu menjadikan falsafah pendidikan negara sebagai dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan kurikulum, bahan-bahan pelajaran dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Ianya juga sebagai pengawal ke atas penyelewengan aktiviti daripada dasar pendidikan. Kewujudan falsafah pendidikan kebangsaan juga dapat menghapuskan salah faham, keraguan dan pertelingkahan dalam sebarang usaha melaksanakan tugas ataupun aktiviti pendidikan.

2 - Pandangan Tokoh Barat Tentang Pendidikan

Mok Soon Sang (2010) telah menghuraikan pandangan tokoh-tokoh pendidikan barat terhadap pendidikan secara panjang lebar. Antara tokoh yang telah dihuraikan oleh beliau ialah Froebel (1782-1852), John Stuart Mill (1806-1873), T.H. Huxley (1825-1895), Maria Montessori (1870-1953), John Dewey (1859-1952) dan Peters (1966).

Menurut Froebel (1782-1852), pendidikan adalah bertujuan mencapai kehidupan yang lurus, suci dan mulia. John Stuart Mill (1806-1873) pula mengatakan bahawa pendidikan adalah berfungsi sebagai suatu proses yang memberikan bantuan untuk individu supaya hidup dengna penuh kegembiraan. Seorang pakar pendidikan yang lain iaitu T.H. Huxley (1825-1895), di dalam bukunya Science of Education menegaskan orang yang benar-benar dikatakan berpendidikan sempurna akan bersedia untuk berkhidmat demi kemajuan diri dan masyarakatnya, serta rela melaksanakan kerjanya dengan ikhlas dan patuh kepada undang-undang alam, penuh bertenaga, bersemangat, berseni dan bermasyarakat.

Maria Montessori (1870-1953), seorang doktor dan pendidik agung di Itali, mentafsirkan pendidikan sebagai suatu proses membentuk dan mengembangkan intelek, jasmani, rohani dan sosial kanak-kanak. John Dewey (1859-1952), seorang pakar pendidikan dari Amerika Syarikat, pernah mengatakan pendidikan merupakan suatu proses perkembangan individu. Mengikut beliau, pendidikan merupakan suatu usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat lagi.

Tokoh terakhir yang menurut Mok Soon Sang (2010) memberikan pandangan mengenai pendidikan ialah Peters (1966). Peter mengatakan dalam bukunya Ethics And Education mengatakan terdapat perbezaan pendidikan daripada usaha individu lain dengan beberapa kriteria tertentu. Kriteria pertama ialah pendidikan bukan bermaksud seseorang itu dilatih dan bukan digunakan untuk tujuan luaran. Kandungan pendidikan adalah meditasi yang melepasi daripada usaha aktiviti pendidikan individu. Kriteria kedua ialah pendidikan melibatkan pemerolehan ilmu dan kefahaman yang lebih daripada penggunaan kemahiran, teknik atau mengumpul maklumat sahaja. Ilmu dan kefahaman ini harus merangkumi prinsip ilmu, kemahiran dan maklumat, termasuk transformasi hidup serta visi seseorang pendidik dalam erti kata sebenar. Kriteria ketiga ialah proses pendidikan merangkumi sekurang-kurangnya kefahaman atas apa yang dipelajari dan apa yang diperlukan dalam proses pembelajaran. Maka kriteria ini membezakan pendidikan daripada propaganda, indoktrinisasi, pelaziman dan kepercayaan.

3 - Siapakah Kanak-kanak ?

Kanak-kanak dalam konteks penulisan ini ialah mereka yang berusia dalam lingkungan usia 7 hingga 12 tahun. Peringkat ini merupakan peringkat yang penting dalam membina hubungan sosial kanak-kanak. Kanak-kanak pada peringkat ini akan berusaha mewujudkan hubungan antara dirinya dengan orang lain. Ini bermaksud kanak-kanak akan berusaha membentuk tingkahlaku yang membolehkan dirinya di terima oleh orang lain dan ini sekaligus meningkatkan keyakinannya untuk berinteraksi dengan orang lain dalam masyarakat sekitarnya.

Oleh sebab itu, pada peringkat usia ini kanak-kanak mula membina sikap yang baik, belajar menyesuaikan diri dengan rakan sebaya, belajar memainkan peranan sosial yang sesuai dengan sifat kejantinaannya, membentuk konsep yang perlu bagi kehidupan sehariannya dan berusaha membentuk sikap terhadap kumpulan masyarakat dan institusi masyarakatnya.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka halaman 668, perkataan Kanak-kanak merupakan kata terbitan dari istilah Kanak yang membawa maksud budak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang kebiasaannya berumur lebih dari 7 atau 8 tahun. Manakala istilah Budak menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 211 membawa maksud anak atau kanak-kanak : hamba sahaya, pembantu rumah. Justeru dapat disimpulkan dari pengertian Kamus Dewna Edisi Keempat bahawa kanak-kanak ataupun budak merupakan individu kecil yang berusia lebih dari 7 atau 8 tahun dan masih tidak mencapai akil baligh.

Menurut web ensiklopedia Wikipedia, definisi kanak-kanak atau budak (children), kanak-kanak ialah manusia kecil yang kebiasaannya berada dalam linkungan bayi hingga mencapai akil baligh iaitu diantara 0 tahun sehingga 10 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan 12 tahun bagi kanak-kanak lelaki. Sesetengah pendefinisian luaran, mereka memasukkan usia kanak-kanak tersebut sewaktu masih di dalam kandungan sebagai definisi kanak-kanak. Menurut Wikipedia lagi, melalui Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai hak asasi kanak-kanak, definisi kanak-kanak ialah manusia yang berumur di bawah 18 tahun. Sebanyak 192 buah negara anggota PBB dari 194 negara telah bersetuju dengan pendefinisian ini dan ini membuatkan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun tidak boleh dilanggar hak asasi mereka. Hak asasi itu termasuk hak asasi mendapatkan pendidikan, bebas dari aktiviti pekerjaan dan pemerdagangan manusia dan sebagainya.

Menurut Robert Havinghurst dalam bukunya Human Development and Education (1953) melalui Mok Soon Sang (2010) dalam Perkembangan Kanak-kanak, beliau telah mengemukakan teori tugas-tugas perkembangan yang menjelaskan apa itu kanak-kanak dan berapakah takat umur yang membolehkan seseorang individu itu dikenali sebagai kanak-kanak. Robert Havinghurst merupakan seorang ahli psikologi Amerika Syarikat yang terkenal dan mengemukakan teori tugas-tugas perkembangan berlandaskan sosiobudaya berkaitan dengan perkembangan jasmani. Beliau juga menghuraikan perkembangan utama manusia sebagai satu-satu tugas, seperti berjalan, berlari atau melompat, yang dilahirkan di dalam kehidupan individu pada sesuatu peringkat tertentu.

Kejayaan individu dalam perlaksanaan tugas tertentu membawa kepuasan serta mendorongnya mengulangi tugas tersebut. Manakala kegagalan melaksanakan tugasan kali pertama akan membawa perasaan kecewa serta menghindarkannya meneruskan tugasan tersebut. Robert Havinghurst juga menegaskan bahawa perkembangan personaliti seseorang dipengaruhi oleh nilai-nilai, moral dan budaya masyarakat. Robert Havinghurst dalam bukunya Human Development and Education (1953) menyenaraikan tugas-tugas perkembangan kanak-kanak dari peringkat bayi hingga remaja. Antara peringkat yang diutarakan oleh Robert Havinghurst ialah peringkat lahir sehingga awal kanak-kanak iaitu sekitar umur 0 hingga 6 tahun. Peringkat kedua ialah peringkat kanak-kanak iaitu berumur 6 tahun sehingga 12 tahun. Peringkat ketiga ialah peringkat awal remaja dan remaja iaitu berumur sekitar 12 tahun sehingga 18 tahun. Kesemua peringkat ini mempunyai ciri-ciri tugasan khusus.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...