+ KaJiaN SoSiaL +

PKK : Teori Kognitif Jean Piageat

| Wednesday, June 8, 2011
Teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1896-1980) merupakan satu teori yang diasaskan dan diperkembangkan oleh Jean Piaget. Jean Piaget merupakan seorang ahli psikologi Switzerland yang cuba menjelaskan tentang kaedah manusia mempersepsi ilmu dan membuat hipotesis (Haliza & Samuel, 2009).

Piaget pada awalnya mempunyai latar belakang pendidikan dalam lapangan biologi dan menggelar dirinya sebagai seorang “genetist epistemologist” sebelum beliau beralih minat kepada perkembangan kognitif kanak-kanak melalui satu insiden yang berlaku di Makmal ujikaji IQ Binet di Paris, tempat di mana beliau bekerja (Huitt & Hummel, 2003). Antara persoalan yang sering menarik minat Piaget dalam lapangan biologi ialah “bagaimana kita menjadi tahu?”. Piaget juga percaya bahawa apa yang membezakan antara manusia dengan haiwan adalah kebolehan manusia untuk memberi alasan yang abstrak (“abstract symbolic reasoning”).

Menurut Jean Piaget, kanak-kanak akan melalui peringkat-peringkat perkembangan kognitif yang sama tetapi pada usia yang berbeza-beza. Beliau berpendapat persekitaran tidak membentuk kognitif kanak-kanak, sebaliknya, kanak-kanak membina pengetahuan mereka secara aktif untuk memahami persekitarannya. Keadaan ini berlaku melalui pelbagai proses penerokaan, manipulasi dan menilai persekitaran fizikalnya.Untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai proses ini, Piaget memperkenalkan 4 konsep utama iaitu skema, penyerapan, pengubahsuaian dan keseimbangan.

Skema adalah struktur kognitif atau mental yang membolehkan individu mengurus dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.

Skema adalah seperti sebuah kabinet yang menyimpan banyak fail dan setiap fail mewakili satu skema. Apabila seorang bayi dilahirkan ia mempunyai skema umum dan semakin bayi itu membesar skema yang diperoleh semakin meningkat dan skema itu semakin diperhalusi.

Skema adalah proses mencipta, memperhalus, membuat perubahan, menyusun dan mengurus. Apabila seorang bayi dilahirkan, skema sedia ada pada bayi itu ialah menghisap susu dan menggenggam. Apa sahaja benda yang dimasukkan ke mulutnya akan dihisapnya. Seperti puting susu atau jari tangan. Bayi berkenaan masih belum dapat membezakan yang mana satu akan mengeluarkan susu atau sebaliknya, kerana hanya ada satu sahaja skema iaitu menghisap.

Asimilasi merupakan proses kognitif di mana seseorang menyatukan maklumat-maklumat baru atau pengalaman-pengalaman baru ke dalam skema yang sedia ada, iaitu penyerapan (fitting) maklumat baru ke dalam struktur sedia ada. Asimilasi berlaku sepanjang masa kerana manusia sentiasa melalui pelbagai maklumat dan pengalaman. Keadaan ini boleh disamakan dengan sebuah belon yang semakin membesar apabila ditiupkan angin ke dalamnya. Oleh itu, perubahan yang berlaku adalah secara kuantitatif atau bukan kualitatif.

Akomodasi atau penyesuaian diri dan menghasilkan perubahan kualitatif serta perkembangan skema (development of schema). Jika maklumat yang diterima sesuai dengan skema yang ada, maka ia akan diserap ke dalam skema, sebaliknya jika maklumat itu tidak sesuai, maka maklumat itu akan ditolak atau diubah atau diubahsuai.

Oleh itu, proses penyesuaian diri berlaku apabila skema yang sedia ada diubah suai untuk digabungkan dengan maklumat-maklumat atau pengalaman-pengalaman baru. Peningkatan maklumat dan pengalaman ini meningkatkan tahap skema sedia ada. Proses ini berlaku secara berterusan sehingga seseorang itu mencapai tahap pemahaman yang stabil dan mantap bagi satu-satu kemahiran tertentu.

Keseimbangan akan tercapai apabila seseorang kanak-kanak menyeimbangkan proses penyerapan dan pengubahsuaian. Contohnya, apabila seseorang kanak-kanak menerima maklumat baru, ia akan menyerap maklumat itu ke dalam skemanya. Sekiranya ia berjaya proses keseimbangan akan tercapai. Sebaliknya, jika ia tidak dapat diserap, maka maklumat itu akan diubahsuai melalui pengubahsuaian skema atau mencipta skema yang baru. Jikalau maklumat baru itu dapat disesuaikan, maka tahap keseimbangan akan tercapai. Proses ini berlaku secara berterusan bermula dari bayi sehingga dewasa.

Menurut Piaget, proses pemikiran kita berubah secara menyeluruh bermula selepas lahir sehingga kita mencapai kematangan. Piaget telah menyatakan empat faktor yang mempengaruhi proses pemikiran individu iaitu kematangan biologi, interaksi individu dengan persekitaran, pengalaman sosial dan keseimbangan.

Piaget juga telah mencadangkan empat peringkat dalam perkembangan kognitif iaitu peringkat sensorimotor, pra operasi, operasi konkrit dan operasi formal (Huitt & Hummel, 2003).Peringkat sensorimotor merupakan peringkat yang mana bayi masih dalam kandungan sehingga berusia dua tahun.

Pada awal peringkat ini bayi menggunakan deria dan pergerakkan fizikal untuk mempelajari tentang persekitarannya. Pada peringkat ini juga bayi mengkoordinasi maklumat deria dengan kebolehan motor untuk membentuk skema tingkah laku yang membolehkan mereka melakukan penerokaan tentang persekitaran mereka.

Pada akhir peringkat sensorimotor, kanak-kanak sudah mula menggunakan imitasi, memori dan pemikiran dalam kehidupan sehari-harian mereka. Kanak-kanak juga akan mencapai tahap pengekalan objek iaitu kebolehan untuk membayangkan atau menggambarkan sesuatu objek dalam memorinya. Pada akhir peringkat ini juga kanak-kanak sudah mampu untuk menggunakan skema-skema mudah.

Peringkat seterusnya iaitu pra operasi. Usia kanak-kanak yang termasuk dalam peringkat ini ialah kanak-kanak yang berusia dua hingga tujuh tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak mula menggunakan bahasa dan mula menyatakan tentang sesuatu objek dengan menggunakan gambar dan perkataan. Mereka mempunyai sikap egosentrik yang mana mereka melihat dan memahami persekitaran melalui perspektif mereka sendiri. Pada peringkat ini juga kanak-kanak sudah boleh mengklasifikasikan objek mengikut jenisnya (Atherton, 2005). Sebagai contoh mengasingkan blok-blok berwarna merah mengikut bentuk yang sama atau mengasingkan blok-blok berbentuk kiub mengikut warnanya.

Peringkat operasi konkrit merupakan peringkat yang seterusnya selepas pra operasi yang mana kanak-kanak yang berusia tujuh hingga sebelas tahun termasuk dalam kelompok ini. Pada peringkat ini, sifat egosentrik dalam diri kanak-kanak sudah berkurangan (Huitt & Hummel, 2003). Kanak-kanak juga sudah mampu memanipulasi simbol berkaitan objek yang konkrit.

Pada peringkat ini kanak-kanak perlu menguasai tiga prinsip asas iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan. Piaget telah pun menjalankan beberapa ujian ke atas kanak-kanak yang merangkumi aspek-aspek nombor, panjang, berat, isipadu, luas, cecair dan berat untuk mengkaji ketiga-tiga prinsip ini (Berk, 2003) (Huitt & Hummel, 2003) (lampiran 1.1).

Prinsip identiti menerangkan bahawa kanak-kanak tahu sekiranya tiada bilangan yang ditambah atau dikurangkan, bilangan atau amaun objek adalah sama walaupun bentuknya berubah. Haliza & Samuel (2009) mendefinisikan prinsip ganti rugi sebagai kanak-kanak tahu sesuatu perubahan pada satu segi akan diganti oleh perubahan dalam satu aspek yang lain.

Dalam prinsip keterbalikan pula kanak-kanak boleh mengulang proses yang berlaku secara mental kepada keadaan asal semula. Kanak-kanak juga sudah mampu untuk berfikir secara mengundur atau ‘reversible’ (Huitt & Hummel, 2003).

Pada peringkat terakhir iaitu peringkat operasi formal (11 tahun dan ke atas), kanak-kanak mampu untuk berfikir secara logik tentang permasalahan yang abstrak dan mampu untuk menguji hipotesisnya secara sistematik (Atherton, 2005).

Kadar perkembangan sangat pesat yang mana perubahan tersebut mula ke arah menjadi seorang dewasa. Kanak-kanak pada peringkat ini juga mencapai akil baligh tetapi masa yang diambil ke arah ini adalah berbeza menikut jantina. Kebiasaannya, kanak-kanak atau remaja perempuan terlebih dahulu akil baligh daripada lelaki sebaliknya tempoh pertumbuhan lelaki semasa akil baligh adalah lebih lama berbanding perempuan.

Pada akhir peringkat ini muncul pula egosentrik remaja, tetapi egosentrik ini berlainan daripada egosentrik di peringkat pra operasi. Egosentrik remaja ini membuatkan remaja lebih tertumpu kepada idea dan pemikiran mereka sendiri. Mereka susah untuk menerima pandangan, idea, teguran dan pendapat orang lain.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...