+ KaJiaN SoSiaL +

TITAS : Sumbangan Tamadun Islam Dalam Perubatan

| Saturday, June 11, 2011
SUMBANGAN TAMADUN ISLAM DALAM BIDANG PERUBATAN

Perubatan merupakan suatu bidang yang menjadi suatu bidang wajib yang berkembang seiring dengan perkembangan ketamadunan manusia. Kesemua tamadun manusia meliputi di bahagian timur bumi hinggalah ke barat bumi akan mempunyai ilmu perubatan yang tersendiri yang unik. Berdasarkan sumber sejarah yang telah direkodkan, ilmu perubatan akan berkembang seiring dengan kewujudan manusia kerana manusia itu sendiri akan mengalami pelbagai penyakit yang mengakibatkan penggunaan ubat-ubatan amat diperlukan. Untuk menghasilkan ubat-ubatan terutama daripada herba dan kayu-kayan, maka ilmu mengenainya diperlukan. Sungguhpun herba dan kayu kayan itu dapat diperolehi, cara penggunaan herba tersebut juga perlu dikaji dengan teliti kerana terdapat juga ubat-ubatan rimba yang berbahaya kepada manusia terutama jika tersilap penggunaannya. Justeru, ilmu yang berkaitan dengan cara penggunaan ubat-ubatan dan kaedah rawatan itu dikatakan sebagai ilmu perubatan.

Menurut sumber sejarah yang direkodkan dari tamadun Mesopotamia, bidang perubatan tertua pernah direkodkan adalah di tamadun Mesopotamia iaitu sekitar 3000 SM. Bidang perubatan di tamadun Mesopotamia diperkenalkan oleh Perdana Menteri mesir iaitu Amhutab iaitu perdana menteri mesir sewaktu pemerintahan Raja Zusir. Sejarah peradaban mesir telah mengiktirafkan Amhutab sebagai doktor perubatan pertama dunia. Dari mesir, ilmu perubatan telah berkembang ke tamadun Babylon, Hindus dan Hwang Ho.

Sejarah Yunani turut merekodkan mengenai perkembangan bidang perubatan di dalam tamadun yunani. Menurut rekod sejarah, tamadun yunani telah mengalami perkembangan dalam bidang ilmu perubatan melalui dasar ilmiah yang dianjurkan oleh Hippocrates (460SM - 365 SM). Atas jasa perlaksanaan dasar ilmiah oleh beliau, ahli sejarawan dan aristokrat yunani telah memberikan gelaran ‘Bapa Perubatan’ Yunani kepada Hippocrates. Dari tamadun yunani, ilmu perubatan telah berkembang ke tamadun Rom dan empayar Parsi. Dari tamadun parsi, ilmu perubatan akhirnya sampai ke tanah arab melalui aktiviti perdagangan dan hubungan diplomasi antara orang arab dan orang parsi.

1.0 Perkembangan Perubatan Tamadun Arab

Menurut sumber sejarah mengenai ilmu dan bidang perubatan arab, sudah terdapat ilmu perubatan di dalam ketamadunan arab jahiliyah namun tidak terlalu meluas dan hanya meliputi beberapa bidang yang berkait rapat dengan kehidupan padang pasir sahaja. Ilmu itu diwarisi secara turun-temurun dan telah dicampuri oleh unsur-unsur pendewaan dan paganisme. Ini kerana masyarakat jahiliyah sewaktu itu tidak mempunyai agama dan mereka lebih mempercayai mengenai dewa-dewa dan menyembah berhala yang mereka buat sendiri menggunakan kemahiran pertukangan dan sebagainya. Penggunaan jampi serapah dan kalimah-kalimah pemujaan turut digunakan kerana mereka mempercayai bahawa setiap penyakit dan bencana alam yang menimpa mereka adalah disebabkan oleh kemurkaan dan kemarahan sang dewa sembahan.

Ilmu perubatan sewaktu zaman sebelum kemunculan islam hanya melibatkan beberapa bidang sahaja yang berkaitan dengan kehidupan padang pasir mereka. Sewaktu sebelum kedatangan islam, masyarakat arab telah terkenal dengan aktiviti perdagangan antara kerajaan. Antara lokasi perdagangan yang menjadi kebiasaan kepada bangsa arab untuk berdagang ialah ke empayar Parsi. Sewaktu empayar Parsi sedang berkembang dengan pesat, ilmu perubatan turut diperkukuhkan oleh pemerintah Parsi sewaktu itu. ilmu perubatan parsi merupakan suatu ilmu perubatan yang diwariskan dari tamadun yunani. Pedagang arab telah menjalankan perdagangan dengan empayar parsi dan disamping itu mereka turut mempelajari ilmu perubatan parsi dan membawa balik ilmu tersebut ke kawasan padang pasir arab. Terdapat beberapa tokoh perubatan arab jahiliyah yang masyhur sewaktu sebelum kedatangan islam, antaranya ialah Zuhair Al-Janab Al-Himyari, Zainab Al-Awab dan juga Ibnujuzaim. Namun tokoh perubatan arab jahiliyah yang paling berpengaruh ialah Al-Harith Al-Khaldah dan anaknya An-Nadr yang merupakan pedagang dari bangsa arab yang sering mengadakan aktiviti perdagangan dengan empayar parsi. Disamping mereka menjalankan aktiviti perdagangan, mereka turut mempelajari ilmu perubatan dan akhirnya ilmu perubatan itu telah diperkembangkan di tanah arab oleh mereka berdua. Menurut rekod sejarah tamadun arab, Al-Harith Al-Khaldah dan anaknya An-Nadr telah memberikan pengaruh yang besar kepada bidang perubatan kuno arab ketika itu.

Setelah kedatangan agama islam, ilmu perubatan arab jahiliyah masih lagi diamalkan dengan tapisan. Ini kerana agama islam mengharamkan perubatan yang melibatkan pemujaan kepada dewa dan penyembahan berhala. Penggunaan jampi serapah dan kalimah perubatan yang menyeleweng daripada agama islam juga diharamkan kerana syariat. Ilmu perubatan sewaktu zaman selepas kedatangan islam dapat dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu zaman Rasullullah S.A.W dan Khalifah Ar-Rashidin, sewaktu empayar Umaiyah dan juga sewaktu zaman pemerintahan empayar Abbasiyah. Bidang perubatan islam banyak berkembang di dalam empayar umaiyah dan abbasiyah berbanding empayat fatimiyah dan uthmaniyah kerana empayar fatimiyah dan uthmaniyah mewarisi ilmu perubatan empayar umaiyah dan abbasiyah dengan sedikit pengubahsuaian.

1.1 Sumbangan Ilmu Perubatan Era Rasullullah S.A.W & Khalifah Ar-Rashidin

Sewaktu era masyarakat arab selepas kedatangan islam atau bertepatan lagi sewaktu adanya Rasullullah S.A.W dan sewaktu pemerintahan Khalifah Ar-Rashidin, ilmu perubatan kurang berkembang kerana ayat Al-Quran biasa digunakan untuk mengubati penyakit. Pada peringkat awal, ilmu perubatan arab kuno masih lagi digunakan namun diadakan tapisan demi tapisan demi menyingkirkan unsur-unsur pendewaan dan syirik. Maka lahirlah bidang perubatan yang benar-benar asli tanpa sebarang upacara dan kepercayaan karut-marut sewaktu itu. Malah sewaktu era Rasullullah S.A.W dan pemerintahan para sahabat baginda iaitu Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman Affan Zunnurain dan Saidina Ali Bin Abi Talib, tokoh-tokoh perubatan arab kuno masih lagi hidup seperti Ibnujuzaim.

Namun sewaktu pemerintahan khalifah Ar-Rashidin berempat, tidak ramai tokoh perubatan islam yang lahir kerana khalifah sewaktu itu sibuk dengan urusan dalam negara yang lain seperti memerangi golongan murtad, meluaskan syiar islam dan mempertahankan akidah umat islam dari terpesong akibat kewafatan Rasullullah S.A.W. Sewaktu kewafatan Rasullullah S.A.W ramai umat islam di seluruh wilayah islam bertindak keluar islam dan murtad kerana tidak mempercayai bahawa Rasullullah S.A.W telah meninggal kerana mereka menganggap bahawa Rasullullah tidak akan mati dan akan hidup selamanya. Walaupun semua itu telah diterangkan secara terperinci oleh khalifah melalui utusan baginda. Dek kerana kesibukan para khalifah memperbetulkan perkara kebatilan dalam wilayah islam, maka perkembangan ilmu perubatan tidak terlalu meluas dan ilmu perubatan yang diaplikasikan dalam kehidupan bangsa arab hanyalah ilmu perubatan arab kuno yang merupakan pewarisan dari bangsa arab kuno jahiliyah. Namun masih ada tokoh perubatan islam yang lahir sewaktu itu seperti Ibnu Qaiyim Al-Jauziyah yang telah mengarang kitab perubatan bertajuk Al-Tibb Al-Nabawi yang telah mengumpulkan beberapa hadis daripada Rasullullah S.A.W berkenaan cara-cara menjaga kesihatan mengikut sunnah dan kaedah rawatan islam kepada beberapa jenis penyakit tertentu.

1.2 Sumbangan Ilmu Perubatan Era Empayar Umaiyah

Sewaktu era pemerintahan empayar umaiyah, ilmu perubatan telah dikembangpesatkan oleh khalifah bani umaiyah. Ilmu perubatan merupakan antara bidang ilmu yang penting sewaktu itu. Secara sejarahnya, pemerintahan empayar bani umaiyah telah bertanggungjawab memerintah seluruh empayar islam selama lebih kurang 89 tahun iaitu bermula seawall 661 Masehi sehingga 750 Masehi. Secara keseluruhannya, sewaktu zaman bani umaiyah ilmu perubatan banyak menerima pengaruh dari ilmu perubatan yunani. Sewaktu pemerintahan Khalifah Khalid Al-Yazid dan khalifah seterusnya, kegiatan penterjemahan buku-buku perubatan dari tamadun yunani giat diperluaskan dan disimpan di dalam pembendaharaan negara dan digunakan untuk kajian oleh para ilmuan islam lain. Menurut beberapa sumber sejarah, terdapat ramai tokoh perubatan islam yang lahir sewaktu era empayar Umaiyah, antaranya ialah Ahtal, Abu Al-Hakam, Tiazuq dan juga Abul Malik Bin Abjur Al-Kittani.

Ilmu perubatan lebih berkembang pesat sewaktu era pemerintahan khalifah Al-Walid Bin Abdul Malik yang memerintah empayar bani umaiyah dari tahun 705 Masehi sehingga 715 Masehi. Pada 707 masehi, khalifah telah mengilhamkan agar ditubuhkan hospital di Damsyik dan baginda telah mengumpul doktor perubatan dan pakar kesihatan untuk berkhidmat di hospital itu. Malah mereka semua telah diberikan gaji secara bulanan melalui pembendaharaan negara. Sejarah islam telah mencatatkan bahawa hospital yang dibina di Damsyik ini merupakan hospital pertama seumpama itu di dunia sewaktu itu.

Bidang perubatan sewaktu zaman bani umaiyah turut mengalami beberapa evolusi dan penambahbaikan dari cendekiawan islam sewaktu itu. Maka lahirlah ramai tokoh-tokoh perubatan islam seperti Al-Tabary. Al-Tabary merupakan tokoh perubatan sewaktu pemerintahan bani umaiyah, beliau juga telah mengarang sebuah kitab perubatan iaitu Tarikh Umam Wal Muluk. Beliau juga telah mengatakan di dalam kitabnya bahawa khalifah Al-Walid Bin Abdul Malik merupakan khalifah pertama yang telah mengarahkan pihak hospital di Damsyik agar mengasingkan pesakit penyakit kusta dari pesakit-pesakit lain untuk mengelakkan berlakunya jangkitan. Malah kesmeua pesakit kusta telah disediakan wad khas buat mereka yang sedikit jauh dari pesakit penyakit lain.

1.3 Sumbangan Ilmu Perubatan Era Empayar Abbasiyah

Selain era bani umaiyah, terdapat lagi satu pemerintahan yang telah banyak memberikan sumbangan dalam bidang perubatan islam iaitu empayar abbasiyah. Empayar ini telah banyak memberikan sumbangan dalam bidang perubatan islam kerana kecintaan mereka kepada ilmu dari pelbagai bidang. Empayar Bani Abbasiyah telah mengetuai pemerintahan umat islam selama 508 tahun iaitu bermula seawal 750 masehi sehingga 1258 masehi iaitu setelah serangan tentera barbar mongol ke atas kota 1001 malam empayar abbasiyah iaitu kota Baghdad. Antara faktor utama yang menyebabkan aktiviti penterjemahan kitab perubatan dari tamadun lain giat dijalankan ialah kewujudan suasana harmoni dan aman damai dalam kehidupan masyarakat di dalam tamadun islam bani abbasiyah. Faktor ini menjadi faktor penggalak utama kepada aktiviti penterjemahan kitab perubatan dari yunani, malah aktiviti ini mendapat galakan daripada khalifah sama ada dalam bentuk bantuan kewangan ataupun penghargaan kepada para cendekiawan islam yang terlibat. Secara umumnya, ilmu perubatan sewaktu pemerintahan bani abbasiyah banyak berkembang dengan pesatnya sewaktu pemerintahan khalifah Harun Ar-Rasyid pada 786 masehi hingga 809 masehi dan juga pemerintahan khalifah Al-Makmun pada 813 masehi hinggga 833 masehi.

Sewaktu pemerintahan khalifah bani abbasiyah, kehidupan umat islam sewaktu itu mewah dan segalanya mencukupi malah ingin mencari orang miskin sukar untuk ditemui. Maka akibat kemewahan dan banyaknya sumber makanan, maka banyaklah penyakit baru yang muncul sewaktu itu. penyakit tersebut menjadi suatu galakan kepada para cendekiawan perubatan islam untuk mengkaji dan mencari penawarnya. Maka secara tidak langsung sebenarnya ilmu perubatan tersebut sedang berkembang dan berinovasi. Menurut sumber sejarah, empayar abbasiyah juga bertanggungjawab memperkenalkan klinik dan hospital cawangan. Jika sewaktu zaman pemerintahan khalifah bani umaiyah, khalifah Al-Walid bin Abdul Malik telah menubuhkan hospital utama empayar, tetapi sewaktu bani abbasiyah, khalifah telah memperkenalkan klinik ataupun hospital cawangan di setiap wilayah empayar.

Terdapat beberapa peringkat perkembangan ilmu perubatan sewaktu empayar bani abbasiyah. Pertamanya ialah peringkat penterjemahan dan keduanya peringkat penemuan dan penulisan. Peringkat pertama iaitu penterjemahan banyak berlaku sewaktu awal pemerintahan bani abbasiyah. Usaha menterjemahkan karya perubatan dari bahasa yunani banyak dijalankan. Bukan sahaja kitab perubatan dari tamadun yunani, terdapat juga karya perubatan dari tamadun parsi dan rom yang diterjemahkan ke dalam bahasa arab. Aktiviti ini pesat dilakukan terutama sewaktu pemerintahan khalifah Abu Jaafar Al-Mansur yang memerintah empayar bermula 754 masehi sehingga 775 masehi. Antara penterjemah karya perubatan yang masyhur sewaktu ialah Hunain Bin Ishak, Isa Bin Yahya, Qusta Bin Luqa Al-Balabakki, Thabit Bin Qurrah dan ramai lagi yang terlibat. Mereka kesemua mendapat galakan dari khalifah untuk menterjemahkan karya perubatan dari tamadun lain.

Peringkat kedua ialah peringkat penemuan dan penulisan dalam bidang perubatan oleh tokoh-tokoh perubatan islam sewaktu zaman pemerintahan bani abbasiyah. Pada akhir kurun ke-3 Hijrah menyaksikan lahirnya ramai tokoh perubatan islam yang amat terkenal di seluruh dunia seperti Ibnu Sina, Al-Razi, Al-Zahrawi, Ibnu Nafis dan sebagainya. Nama mereka semua cukup masyhur dalam bidang perubatan malah kitab perubatan karangan Ibnu Sina iaitu Al-Qanun Fil Tibb menjadi rujukan utama atau primer di pendidikan universiti di eropah selama lebih 600 tahun. Sewaktu bani abbasiyah berkuasa, khalifah turut telah mendirikan pusat pembelajaran ilmu perubatan di seluruh empayar islam sewaktu itu. kaedah pembelajaran yang diamalkan di pusat pembelajaran tersebut terbahagi kepada dua kaedah yang sehingga kini masih digunapakai iaitu kaedah pembelajaran teori dan pembelajaran praktikal. Sekiranya seorang pelajar tersebut berjaya melepasi ujian peringkat akhir bidang perubatan ini layak untuk dianugerahkan ijazah/kelulusan kedoktoran perubatan dari khalifah.

Sewaktu pemerintahan bani abbasiyah juga, khalifah telah meletakkan kesemua doktor dan pengamal perubatan di bawah suatu badan yang bertanggungjawab mengurus bidang perubatan iaitu dikenali sebagai Al-Muhtasib. Khalifah Al-Muqtadir yang memerintah bermula 908 masehi sehingga 932 masehi telah memerintahkan sesiapa rakyat yang ingin menjadi doktor perubatan, diwajibkan mempelajari ilmu perubatan secara formal dan wajib lulus dengan cemerlang peperiksaan akhir perubatan sebelum layak menjadi pengamal perubatan ataupun doktor dengan berdaftar. Profesor Dr. Ahmad Al-Shalaby dalam hasil tulisannya Sejarah Kebudayaan Islam telah menyatakan bahawa sewaktu era pemerintahan bani abbasiyah, ilmu perubatan telah berkembang dengan pesatnya dan memberi kesan mendalam kepada dunia perubatan selepas keruntuhan empayar tersebut.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...