+ KaJiaN SoSiaL +

FPK : Pendidikan Islam

| Tuesday, June 7, 2011
PENDIDIKAN ISLAM

Islam mementingkan aspek pendidikan umatnya. Malah Rasullullah S.A.W juga telah menyarankan agar umat islam sentiasa menuntut ilmu seawal di buaian sehingga ke liang lahad. Selain itu, kenyataan ini dibuktikan dengan wahyu pertama yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang menyuruh bagainda membaca dalam keadaan beliau yang ummi. Segala wahyu juga menyampaikan mesej yang sama iaitu suatu suruhan belajar mengenali Allah S.W.T., memahami keindahan ciptaan Ilahi serta mengenali diri yang merangkumi prinsip-prinsip aqidah, ilmu dan amal. Ketiga-tiga prinsip ini merupakan teras kepada falsafah pendidikan Islam.

Pentafsiran apakah maksud pendidikan juga amat jelas perbezaannya dalam penekanan dan konsepnya dalam kalangan cendekiawan barat. Menurut ahli falsafah Amerika, John Dewey melalui ensiklopedia maya Wikipedia, beliau menyatakan bahawa pendidikan adalah “The process of forming fundamental dispositions, intellectual and emotional forwards nature and fellow men.”

Menurut pendapat Prof. H. Hone melalui ensiklopedia maya Wikipedia: “Education is the eternal process of superior adjustment of the physically developed, free conscious, human beings to God as manifested in the intellectual, emotional and relational environment of men.”

Menurut ahli falsafah Yunani yang terkenal Plato, melalui ensiklopedia maya Wikipedia, mengatakan pendidikan bererti memberi keindahan dan kesempurnaan yang mungkin diberikan kepada jasmani dan rohani.

Berdasarkan takrif yang diberikan Sarjana Barat, dapat difahami bahawa pendidikan itu hanya sebagai proses melatih fizikal, akal dan sahsiah supaya dibentuk menjadi manusia dan warganegara yang baik. Dalam perspektif Islam, didikan mempunyai pengertian dan konsep yang lebih menyeluruh dan holistik.

Menurut Prof. Hassan Langgulung (1987) melalui ensiklopedia maya Wikipedia mentafsirkan pendidikan bermaksud merubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui pelbagai proses sosialisasi. Proses pemindahan tersebut ialah pengajaran, latihan dan indoktrinasi. Pemindahan nilai-nilai melalui pengajaran ialah memindahkan pengetahuan dari individu kepada individu manakala latihan ialah membiasakan diri melakukan sesuatu bagi mendapatkan kemahiran, sementara indoktrinasi pula menjadikan seseorang dapat mengambil contoh apa yang dilakukan persekitaran. Ketiga-tiga proses ini berjalan serentak dalam masyarakat primitif dan moden.

Menurut Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh (1993) dalam bukunya Dasar-dasar Pendidikan Menurut Islam mendidik itu bererti memimpin atau membentuk anak ke suatu jurusan atau tujuan. Atau dengan kata lain bahawa ‘pendidikan’ itu ialah suatu usaha dan kepimpinan yang teratur untuk mengembangkan dan memajukan segala kesanggupan dan kemungkinan-kemungkinan yang ada pada anak-anak atau orang yang terdidik dengan selengkap-lengkapnya dan setingi-tingginya mengenai jasmani dan rohani dalam batas-batas tertentu.

Menurut Dr. Yusuf al-Qardawi (1980) melalui ensiklopedia maya Wikipedia, beliau mentafsirkan pendidikan sebagai mempelajari erti hidup melalui akal, jasmani, hati, rohani, akhlak dan perbuatan. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering menghadapi segala macam kebaikan, kejahatan, kemanisan serta kepahitan. Secara holistiknya, pendidikan dari sudut kaca mata agama Islam ialah satu proses berterusan untuk merubah, melatih, dan mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia dengan berasaskan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabadikan diri kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...