+ KaJiaN SoSiaL +

MdAB : Teori Pembelajaran Behavioris

| Monday, June 13, 2011
TEORI PEMBELAJARAN BEHAVIORIS

Teori ini mengutamakan kemahiran berkaitan fizikal. Ini kerana tokoh-tokoh behavioris berpendapat bahawa pembelajaran merupakan suatu perubahan dalam tingkah laku cara seseorang bertindak dalam situasi tertentu. Terdapat dua prinsip yang dikemukakan dalam teori ini iaitu prinsip pelaziman klasik dan prinsip pelaziman operan.

PELAZIMAN KLASIK

1. Tokoh Ivan Pavlov (1849-1936)

Kajian Pavlov terhadap prinsip pelaziman klasik berfokus kepada pengeluaran air liur anjing. Beliau menjalankan eksperimen dengan melatih anjing mengeluarkan air liur apabila kedengaran bunyi loceng (konsep rangsangan dan gerakbalas). Hasilnya, Pavlov berpendapat pembelajaran boleh berlaku akibat kaitan antara rangsangan dengan gerak balas. Pavlov menambah lagi, pembelajaran yang berlaku melalui perkaitan ini dinamakan pelaziman dan pembelajaran yang berlaku akibat dua rangsangan ini dikenali sebagai pelaziman klasik. Menurut Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah(2009), pelaziman klasik merupakan satu bentuk pembelajaran perkaitan melibatkan rangsangan neutral berkait dengan rangsangan semula jadi dan menghasilkan gerak balas yang serupa.

Selain mengemukakan konsep rangsangan dan gerak balas, Pavlov juga mengemukakan konsep generalisasi, diskriminasi dan penghapusan yang boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

2. Tokoh J.B. Watson (1978-1958)

Kajian Watson pula banyak dipengaruhi oleh Teori Pelaziman Klasik Pavlov dan berasaskan tingkahlaku haiwan. Eksperimen beliau dikenali sebagai Model Pelaziman Klasik Watson yang menggunakan seorang bayi berumur 9 bulan bernama Albert dan seekor tikus putih. Albert pada mulanya tidak menunjukkan perasaan takut pada tikus itu tetapi apabila satu bunyi yang kuat dikeluarkan apabila Albert mendekati tikus tersebut, dia mula menjadi takut. Situasi ini diulangi beberapa kali sehingga menimbulkan perasaan takut Albert kepada tikus tersebut. Hasilnya, Albert telah mempelajari tingkah laku takut kepada semua benda putih yang berbulu.

Menurut Watson, tingkah laku adalah refleks terlazim iaitu sesuatu gerak balas yang dipelajari melalui proses pelaziman klasik. Selain tingkah laku, Watson turut menjalankan kajian terhadap pembelajaran emosi manusia. Menurut beliau, manusia mewarisi tiga jenis emosi semula jadi iaitu takut, marah dan kasih sayang. Emosi manusia atau perubahannya dipelajari melalui proses pelaziman.

PELAZIMAN OPERAN

Dikenali sebagai pelaziman instrumental yang merupakan satu bentuk pembelajaran yang melibatkan kesan akibat tingkah laku seterusnya diulangi, diteruskan atau dihentikan (Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009).

1. Tokoh E.L. Thorndike (1874-1949)

Kajian tentang tingkah laku haiwan. Teori Pelaziman Operan Thorndike turut dikenali sebagai teori cuba-jaya. Melalui kajiannya, seekor kucing dimasukkan ke dalam sebuah sangkar dengan makanan diletakkan di luarnya, beliau mendapati kucing tersebut telah melakukan beberapa percubaan untuk keluar dari sangkar. Pembelajaran ini dikenali sebagai pembelajaran “cuba jaya”. Melalui pembelajaran ini, kucing tersebut melakukan pelbagai reaksi sehingga terpijak selak pintu dan sangkar itu terbuka. Kucing tersebut akan keluar untuk mendapatkan makanan. Apabila dimasukkan ke dalam sangkar semula, kucing tersebut melakukan lagi beberapa percubaan untuk keluar dari sangkar tersebut.

Perhubungan antara rangsangan dengan gerak balas ini mewakili konsep pembelajaran. Perhubungan ini berlaku berdasarkan bilangan kali latihan, keadaan kesediaan individu dan keberkesanan latihan. Thorndike menyarankan, pembelajaran manusia dikawal oleh hukum tertentu, yang disebut sebagai hukum pembelajaran yang terbahagi kepada tiga iaitu hukum kesediaan, hukum latihan dan hukum kesan. Mook Soon Sang (2002) mentakrifkan Hukum Kesediaan sebagai keupayaan persiapan individu di dalam kendirinya untuk memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Menurut beliau, Hukum Latihan menyatakan bahawa semakin banyak latihan yang tertentu dijalankan, semakin kukuh ikatan atau asosiasi gerak balas yang tertentu dengan rangsangan yang berkaitan.

2. Tokoh B.F. Skinner (1904-1990)

Beliau mengutarakan juga Teori Pelaziman Operan. Kajian dijalankan menggunakan Kotak Skinner. Seekor tikus yang sedang melompat-lompat di sekeliling kotak tiba-tiba tertekan butang yang akan mengeluarkan seketul makanan. Tanpa membuang masa tikus itu akan mengulangi menekan butang tersebut untuk mendapatkan makanan.

Menurut pendapat Amir Awang (1986), mengikut Pelaziman Klasik, murid akan menjadi pasif kerana ganjaran diberikan kepadanya bukan atas usahanya mendapatkan ganjaran tersebut. Manakala mengikut Pelaziman Operan, pelajar bertindak aktif kerana ganjaran diperoleh dengan cara berusaha sendiri.Skinner memperkenalkan lima jenis proses Teori Pelaziman Operan iaitu peneguhan positif, peneguhan negatif, dendaan, prinsip Premack dan pelupusan. Menurut beliau, dalam teori pelaziman operan, gerak balas boleh diulangi atau dihapuskan jika diberikan peneguhan sejurus selepas gerak balas ditunjukkan.

IMPLIKASI TEORI BEHAVIORIS TERHADAP PEMBELAJARAN DAN PENGEJARAN

Teori ini menekankan peranan persekitaran dalam proses pembelajaran. Matlamat yang spesifik perlu ditetapkan dan dinyatakan dengan jelas oleh guru supaya ia boleh dicapai dengan berkesan. Di dalam setiap pembelajaran, guru perlu menetapkan objektif khusus bagi setiap langkah pengajaran mereka. Guru juga boleh menyusun aras kesukaran soalan-soalan supaya murid-murid berupaya menyelesaikannya dengan betul (Lee Shok Mee, 1994). Oleh itu, mereka akan menerima pengukuhan positif melalui soalan tersebut. Guru juga boleh mengaplikasikan hukum kesediaan dengan mengaitkan pembelajaran baharu dengan pengetahuan sedia ada pelajar. Hukum latihan juga boleh dilakukan dengan memberi banyak latihan dan pengulangan.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...