TEORI PENDEKATAN HUMANIS
Menurut Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), pendekatan ini melihat pelajar sebagai insan berpotensi, bermotivasi dan berkeupayaan untuk belajar dan berkembang. Menurut Choong (2008) pula, pendekatan ini menumpukan kepada perkembangan konsep kendiri, motivasi intrinsik dan kesedaran kendiri murid-murid.
Teori Pembelajaran Eksperiental
Carl Rogers (1902-1987), pelopor teori ini menganggap manusia pada dasarnya baik dan bermotivasi tinggi untuk mencapai potensi diri. Beliau juga percaya bahawa setiap individu mempunyai keinginan semulajadi untuk belajar. Teori pembelajaran eksperiental mengutamakan pelajar terlibat secara langsung dalam proses pembelajaran. Rogers mengkategorikan teori ini kepada dua bahagian iaitu pembelajaran kognitif yang mementingkan akademik semata dan pembelajaran pengalaman yang melibatkan aplikasi pengetahuan. Apabila pelajar berada pada tahap ancaman rendah, kadar pembelajaran menjadi lebih pantas kerana pembelajaran tersebut atas usaha mereka sendiri.
Teori Hirarki Keperluan Maslow
Abraham Harold Maslow (1908-1970), menghasilkan peringkat keperluan manusia untuk mencapai potensi diri masing-masing. Peringkat keperluan ini pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu keperluan kekurangan dan keperluan perkembangan. Di dalam keperluan kekurangan terdapat keperluan fisiologi, keselamatan, kasih sayang dan penghargaan yang perlu dicapai agar pelajar terus bermotivasi ke arah pencapaian yang lebih tinggi. Dalam keperluan perkembangan pula, pencapaian intelek, estetika dan penyempurnaan kendiri akan dicapai apabila keperluan kekurangan dipenuhi. Kita akan berusaha merealisasikan kebolehan kita agar menjadi manusia yang sempurna.
Implikasi Pendekatan Humanis Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran
Guru perlu memenuhi keperluan asas murid-muridnya dahulu sebelum memulakan pengajaran. Kenalpasti setiap kekurangan keperluan asas semasa awal sesi pengajaran. Peruntukkanlah sedikit masa untuk melakukannya. Guru hendaklah menerima murid tanpa syarat mengikut keupayaan dan kebolehan mereka. Menurut Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah (2009), guru hendaklah melayani individu pelajar sebagai insan, membentuk individu pelajar mengikut potensi masing-masing dan menyediakan mereka untuk menghadapi zaman dewasa kelak.
0 comments:
Post a Comment