PENDIDIKAN ISLAM :
SUATU SISTEM BERKUALITI & KONSEPNYA
SUATU SISTEM BERKUALITI & KONSEPNYA
Islam sangat mementingkan pendidikan. Menurut Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002), dengan pendidikan yang benar-benar berkualiti, maka akan terbentuklah individu yang akhirnya menghasilkan suasana kehidupan sosial yang bermoral. Tetapi secara realitinya, sekalipun institusi-institusi pendidikan waktu kini mempunyai infrastukrur yang bertaraf moden, namun institusi-institusi tersebut masih belum mempu menghasilkan modal insan yang diharapkan. Ini kerana visi dan misi pendidikan yang tidak selari dengan kehendak agama.
Masyarakat barat sering dipandang tinggi dalam segenap aspek, namun di sana tingginya pendidikan seseorang tidak semestinya mereka lahir sebagai modal insan yang berguna. Mungkin secara teorinya kelihatan mereka mampu menjadi modal insan yang baik dengan perlaksanaan pelbagai dasar yang berstatus tinggi, namun realitinya mereka belum menjadi modal insan yang baik dan berguna. Masih ada sesetengah insan yang tinggi pendidikannya tetapi mempunyai moral rendah. Ini terjadi disebabkan visi dan misi pendidikan yang pragmatis. Sebenarnya, agama Islam memiliki tujuan yang lebih komprehensif dan integratif dibanding dengan sistem pendidikan sekular yang semata-mata menghasilkan modal insan yang berpendidikan tinggi tanpa seiring dengan moral dan sahsiah.
KONSEP PENDIDIKAN ISLAM
Menurut sumber dari laman pendidikan islam, pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid berdasarkan ajaran Islam. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mendidik juga bermaksud memelihara, menjaga dan mengasuh seseorang anak menjadi baik. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu jalan dalam pendidikan. Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan.
Mendidik ialah ayat berupa nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik. Menasihati murid menurut perintah Allah S.W.T seperti solat, beradab dengan ibu bapa adalah pendidikan. Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan. Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam. Berdasarkan kepada kedua-dua takrifan di atas bermakna tugas mendidik bukan hanya terletak pada ibu bapa dan guru agama, malah kepada semua orang Islam. Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi didikan agama. Di sekolah, semua guru yang beragama Islam adalah pemikul amanah memberi didikan agama kepada semua murid Islam. Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan suasana islamik dalam kehidupan. Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan lain-lain
Pada kebiasaannya di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik seperti solat, menutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan didikan agama yang betul. Sama juga dengan sekolah. Sekiranya hanya guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya tentang agama, tetapi guru lain tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam.
Dalam kehidupan bermasyarakat, sekiranya masyarakat tidak melaksanakan tugasan amar maaruf nahi mungkar dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menggalakkan, ini bermakna masyarakat tersebut tidak mendidik anggotanya dengan agama, malah sebaliknya meruntuhkan agama. Sekiranya ini yang berlaku, maka penerapan islam oleh guru agama dalam kelas itu tidak akan membuahkan hasil. Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan akhlak, maka jangan disalahkan orang lain. Kerana itu yang dikehendaki oleh ibu bapa, guru dan masyarakat.
Sekiranya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran subjek keagamaan guru tidak hati-hati, guru hanya menyampaikan maklumat pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak mendidik anak muridnya. Sebagai contohnya guru agama tersebut mengajar pelajarnya dengan tajuk syarat wajib jumaat. Di akhir sesi pengajaran, pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru tercapai objektif pembelajaran. Sebenarnya guru itu belum lagi mendidik anak muridnya dengan pendidikan Islam. Yang dinamakan mendidik adalah apabila ilmu itu dipraktikkan oleh anak didik.
Sebagai contohnya bagi tajuk syarat wajib jumaat, guru diwajibkan menasihati murid lelakinya supaya menunaikan solat Jumaat. Alangkah bagusnya jika guru itu sendiri mengiringi pelajar ke masjid. Sebelum ke masjid, guru haruslah menasihati muridnya supaya jangan bising di dalam masjid. Mengambil tempat di dalam masjid dengan tertib dan membaca zikir yang baik, seperti membaca al-Quran. Sekiranya semuanya berjalan, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan islam. Cara praktikalnya juga sama bagi subjek-subjek yang lain, atau pun subjek yang lain yang bukan mata pelajaran agama. Bagi guru yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya.
Jelaslah konsep pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud. Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus. Merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya. Kedua ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup. Inilah yang dikatakan pendidikan Islam.
0 comments:
Post a Comment