+ KaJiaN SoSiaL +

FPK : Prinsip Pendidikan Islam

| Tuesday, June 7, 2011
PRINSIP PENDIDIKAN ISLAM

Menurut Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002), memang benar mengenai pandangan prinsip-prinsip dasar pendidikan secara umumnya banyak dicedok dari ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasullullah S.A.W. Pada kebiasaannya dikemukakan ayat ayat atau hadis yang dapat mewakili pandangan tentang prinsip-prinsip dasar. Seperti dikatakan An-Nahlawi melalui Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002) bahawa pendidikan yang sebenar itu ialah Allah yang telah menciptakan fitrah manusia dengan segala potensi dan kelebihan serta menetapkan hukum azali, perkembangan, dan interaksinya. Prinsip prinsip pendidikan islam tersebut terdiri dari 5 prinsip utama.

Pertama, Prinsip Keutamaan. Prinsip ini menegaskan bahawa pendidikan bukanlah hanya proses mekanikal tetapi suatu proses yang mempunyai kehidupan dimana segala kegiatannya ditujukan kepada kepentingan yang utama. Kepentingan utama itu ialah nilai moral. Nilai moral yang paling tinggi adalah tauhid. Sedangkan nilai moral yang terendah dan paling buruk adalah berlaku syirik. Dengan prinsip keutamaan ini, pendidik bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi lebih daripada itu iaitu membentuk keperibadian murid dengan perlakuan dan keteladanan yang ditunjukkan oleh pendidik tersebut. Nabi Saw bersabda, “Hargailah anak anakmu dan baikkanlah budi pekerti mereka,” (hadis riwayat Nasa’i).

Kedua, Prinsip kebersamaan. Konsep ini berasal dari konsep dasar yang menerangkan bahawa manusia mempunyai taraf yang sama dan tidak ada sedikitpun perbezaan dari sudut darjat, jantina, status sosial, bangsa, mahupun etnik dan warna kulit. Sehingga anak kecil sekalipun mempunyai hak yang sama dari sudut pendidikan. Nabi Muhammad S.A.W bersabda :

“Siapapun di antara seorang laki laki yang mempunyai seorang budak perempuan, lalu diajar dan didiknya dengan ilmu dan pendidikan yang baik kemudian dimerdekakannya lalu dikawininya, maka (laki laki) itu mendapat dua pahala” (Hadis Riwayat Bukhari).

Ketiga. Prinsip Keseimbangan. Dengan adanya prinsip integrasi, prinsip keseimbangan menjadi pelengkap kepadanya, sehingga dalam perkembangan dan pembinaan manusia tiada kepincangan berlaku. Keseimbangan haruslah sama antara material dan spiritual, unsur jasmani dan rohani. Di dalam Al-Quran Allah menyebut iman dan amal secara serentak. Tidak kurang dari enam puluh tujuh ayat yang menyebutkan iman dan amal secara serentak, secara implisit menggambarkan penyatuan yang tidak boleh terpisah. Diantaranya adalah surah Al-Ashr ayat 1-3, “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.”

Keempat, Prinsip Pendidikan Seumur Hidup. Prinsip ini berpunca dari pandangan mengenai keperluan manusia di mana manusia dalam kehidupannya akan dihadapkan dengan pelbagai cabaran dan godaan yang dapat menjerumuskan diri sendiri ke jurang kehinaan. Dalam hal ini, manusia dituntut supaya mempunyai kemampuan untuk mengakui dan menyesali kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan, disamping selalu memperbaiki kualiti ibadah. Sebagaimana firman Allah S.W.T, “Maka siapa yang bertaubat setelah berbuat dosa dan memperbaiki (dirinya) maka Allah menerima taubatnya.” (surah Al-Maidah ayat 39).

Kelima, Prinsip Integrasi. Suatu prinsip yang seharusnya dimiliki kerana prinsip ini adalah mengatakan bahawa dunia ini merupakan suatu jambatan menuju dunia akhirat. Oleh kerana itu, kita haruslah mempersiapkan diri secara kukuh kerana akhirat merupakan hal yang tidak dapat dielakkan. Maka sewaktu hidup di dunia ini kita haruslah benar-benar menjadikan hidup kita bermanfaat untuk menjadikannya bekalan yang akan dibawa ke akhirat nanti. Perilaku yang terpuji, nikmat Tuhan mahupun apa sahaja yang terdapat di dalam kehidupan harus diabdikan untuk mendapat keredhaan Allah Taala. Allah S.W.T Berfirman, “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) sewaktu akhirat, dan janganlah kamu lupa tentang kebahagiaanmu di akhirat...” (surah Al-Qoshosh ayat 77). Ayat ini menunjukkan adanya sifat integrasi di mana diri dan segala yang ada padanya dikembangkan pada satu arah, yakni kebajikan dalam rangka pengabdian kepada Tuhan.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...