+ KaJiaN SoSiaL +

Showing posts with label Sem 1 : Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Sem 1 : Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia. Show all posts

FPK : Biodata Awang Had Salleh

| Tuesday, June 7, 2011
Klik Untuk Perbesarkan Imej



























FPK : Implikasi Pendidikan Islam Di Malaysia

|
IMPLIKASI PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA

Menurut Mok Soon Sang (2010) dalam Falsafah Dan Pendidikan Di Malaysia menyatakan bahawa kemunculan falsafah pendidikan yang bersifat persekutuan dan berpusat akan membawa pelbagai implikasi terhadap sistem pendidikan negara kita. Beliau telah menggariskan empat implikasi yang biasanya terjadi kepada sistem pendidikan negara iaitu implikasi terhadap kurikulum, implikasi terhadap pendidik, implikasi terhadap kaedah pengajaran dan akhir sekali implikasi terhadap institusi pendidikan.

Implikasi terhadap kurikulum merupakan antara implikasi yang jelas kelihatan seandainya falsafah pendidikan islam dilaksanakan. Ini kerana kerangka kurikulum sudah tentunya akan berubah dan ada penambahbaikan. Strategi perlaksanaan dasar falsafah pendidikan islam memerlukan usaha daripada Kementerian Pendidikan dan dalam kalangan komuniti guru. Ini semua amat penting bagi memastikan bahawa falsafah pendidikan islam ini benar-benar berjalan. Perubahan sukatan pelajaran melalui kerangka utama pembelajaran akan menyaksikan pembelajaran dan pengajaran lebih berorientasikan kepada program bersepadu. Guru seharusnya memastikan segala ilmu yang diajar dihayati oleh kesemua pelajar. Bahan-bahan pengajaran juga akan lebih mengutamakan nilai-nilai moral dan akhlak dalam pembelajaran melibatkan semua mata pelajaran. Perubahan juga berlaku dalam program pendidikan kerana pendidikan islam mementingkan pengajaran yang disulam ajaran agama yang dapat menjadikan murid seimbang dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Implikasi yang seterusnya ialah implikasi terhadap pendidik. Menurut Mok Soon Sang (2010), akan berlaku perubahan sikap pendidik dan professionalnya untuk memastikan tugasan mengajar dengan tujuan dan dasar fasafah pendidikan islam adalah selari. Pendidik juga akan berubah dengan mempunyai pandangan dan visi yang lebih positif kepada amanahnya untuk memastikan amanahnya dijalankan dengan jayanya. Perubahan professional ini turut sama akan mengubah strategi dan teknik pengajarannya agar lebih sesuai kerana untuk melahirkan modal insan yang lebih berguna kepada negara. Selain itu, komuniti guru juga akan menjadi lebih bertanggungjawab kerana mereka merasakan bahawa mereka adalah role-model di sekolah kepada anak-anak didik.

Implikasi juga berlaku terhadap kaedah pengajaran di dalam kelas. Falsafah pendidikan islam menekankan penghayatan dalam pengajaran di mana segala ilmu itu haruslah dibuktikan dengan penghayatan dalam amalan seharian. Sebagai contoh sekiranya guru tersebut mengajar tentang ilmu alam sekitar seperti kajian tempatan yang menerangkan mengenai bentuk muka bumi, pengajaran juga haruslah disulamkan dengan penghayatan kepada keindahan dan keagungan ciptaan Allah Taala. Kerana itulah cara yang paling mudah untuk murid-murid bagi menghayati kehebatan kuasa Allah Taala, tuhan yang satu di muka bumi ini yang tidak diperanakkan dan tidak pula beranak. Ini kerana islam sangat mementingkan pendidikan. Menurut Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002), dengan pendidikan yang benar-benar berkualiti, maka akan terbentuklah individu yang akhirnya menghasilkan suasana kehidupan sosial yang bermoral.

Implikasi yang terakhir adalah implikasi yang berlaku terhadap institusi pendidikan. Perubahan organisasi sekolah ke arah mewujudkan situasi yang sesuai untuk melahirkan murid-murid mengikut tujuan dan cita-cita falsafah pendidikan islam. Perubahan juga akan berlaku dari sudut prasarana dan kemudahan infrastruktur. Sebagai contoh dari aspek keagamaan, kebanyakan sekolah-sekolah mempunyai surau bagi aktiviti keagamaan. Malah surau akan dijadikan sebagai suatu tempat khusus untuk melaksanakan aktiviti keagamaan disamping penggunaan dewan dan bilik komputer sekolah. Perubahan aktiviti budaya sekolah juga berubah dengan adanya pelbagai aktiviti keagamaan seperti bacaan doa, tahlil dan sebagainya. Pembentukan bi’ah solehah (suasana beragama) juga akan dipertingkatkan bagi memastikan falsafah pendidikan islam yang diamalkan betul-betul berkesan kepada para murid yang terlibat.

Islam amat menekankan aspek pendidikan kepada penganutnya. Disebabkan oleh itulah, Allah Taala telah menurunkan kalamNya yang pertama kepada Rasullullah S.A.W melalui perantaraan Jibrail A.S mengenai menuntut ilmu. Allah Taala itu maha pemurah lagi maha pengasihani, justeru pohonlah apa sahaja yang baik, nescaya Allah Taala akan makbulkan dengan syarat sentiasa mengingatiNya. Justeru untuk menjadi hambaNya yang dikasihiNya, maka tuntutlah ilmu yang bermanfaat sebanyak mungkin sehingga ajal menjemput balik ke sana. Disebabkan oleh itulah islam amat mementingkan pendidikan, malah pendidikan boleh dilaksanakan di mana sahaja tempat yang baik. Tidak semestinya hanya di sekolah dan surau serta masjid, malah di tengah-tengah padang pasir pun tidak mengapa. Ini kerana proses pendidikanlah yang menyebabkan umat islam kukuh dan hebat di dunia ini.

Menurut Sopwan Hadi (2010) dalam laman webnya, pendidikan merupakan suatu proses oleh generasi muda untuk mereka menjalani kehidupan dan memenuhi tujuan hidupnya secara lebih efektif dan efisien. Pendidikan lebih daripada pengajaran, kerana pengajaran sebagai suatu proses pemindahan ilmu pengetahuan, sedangkan pendidikan merupakan transformasi nilai dan pembentukan keperibadian dengan segala aspek yang dicakupinya. Perbezaan pendidikan dan pengajaran terletak pada penekanan pendidikan terhadap pembentukan kesedaran dan keperibadian anak didik di samping menyampaikan ilmu kepada kumpulan sasaran.

Pengertian pendidikan secara umum yang dihubungkan dengan Islam ialah pendidikan sebagai suatu sistem keagamaan. Ini secara tidak langsung menimbulkan pengertian-pengertian baru, yang secara implisitnya menjelaskan karakteristik yang dimilikinya. Menurut Nur Uhbiyati (1998) melalui Hidayatulhaq di dalam laman webnya, pendidikan Islam itu sendiri adalah pendidikan yang berdasarkan Islam. Isi ilmu adalah teori. Isi ilmu bumi adalah teori tentang bumi.

Maka isi Ilmu pendidikan adalah teori-teori tentang pendidikan, Ilmu pendidikan Islam secara lengkap bukanlah hanya sekadar teori. Tetapi perlu adanya penghayatan dan amalan dalam kehidupan.

Pengertian pendidikan islam adalah lebih luas skopnya. Pendidikan adalah aktiviti yang dirancang secara sedar untuk membantu seseorang atau sekelompok manusia dalam mengembangkan pandangan hidup, sikap, dan keterampilan hidup, baik yang bersifat luaran mahupun dalaman. Menurut Abdul Fatah Jalal melalui Hidayatulhaq di dalam laman webnya, tujuan umum pendidikan Islam ialah melahirkan hamba Allah Taala yang patuh padaNya. Jadi menurut Islam, pendidikan haruslah mampu menjadikan seluruh manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah Taala. Yang dimaksud menghambakan diri ialah beribadah kepada Allah dan taat pada perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Islam menghendaki agar manusia dididik supaya ia mampu merealisasikan tujuan hidupnya sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah. Tujuan hidup menusia hanyalah untuk beribadah kepada Allah. Seperti dalam surat Adz-Dzariyat ayat 56 :

“Dan Aku menciptakan Jin dan Manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku”.

Jalal juga menyatakan bahawa sebahagian orang hanya melihat ibadah itu dari skop yang terbatas iaitu seperti menunaikan solat, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, ibadah haji, serta mengucapkan syahadat. Tetapi sebenarnya ibadah itu mencakupi semua amal, fikiran, dan perasaan yang dihadapkan (atau disandarkan) kepada Allah. Aspek ibadah merupakan kewajipan orang islam untuk mempelajarinya agar ia dapat mengamalkannya dengan cara yang benar. Ibadah ialah jalan hidup yang mencakupi seluruh aspek kehidupan serta segala yang dilakukan manusia sama ada perkataan, perbuatan, perasaan, pemikiran yang bersangkutan dengan Allah Taala.

FPK : Kandungan Pendidikan Islam

|
KANDUNGAN PENDIDIKAN ISLAM

Menurut laman ensiklopedia maya Wikipedia, Dr. Al-Syaibani (1979) mentakrifkan falsafah pendidikan Islam sebagai usaha perlaksanaan teori dan “method” di bidang pengalaman manusia dipanggil pendidikan. Oleh yang demikian, falsafah pendidikan Islam merangkumi aspek-aspek matlamat, kandungan dan dasar pendidikan islam. Menurut laman ensiklopedia Wikipedia di dalam institusi pendidikan dalam islam, terdapat 7 bidang pengajian yang menjadi silibus utama dalam mendidik umat islam. Antaranya ialah Al-Imaniyah (pendidikan keimanan), Al-Khuluqiyah (pendidikan akhlak), Al-Jismiyah (pendidikan Jasmani), Al-Aqiliyah (pendidikan mental), Al-Nafsiyah (pendidikan jiwa), Al-Ijlimaiyah (pendidikan sosial) dan akhir sekali Al-Jinisiyah (pendidikan seks). Kesemua bidang ini berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia. Oleh kerana ianya berkait rapat dengan kehidupan, maka islam telah menggariskan kesemua ilmu ini untuk dipelajari dan kesemua ilmu ini disulam dan terasnya adalah keagamaan dan penghayatan rohani agar umat islam tidak tersesat dari jalan yang lurus.

Menurut Prof Hassan Langgung (1979) melalui Mok Soon Sang (2010) kandungan dan sukatan pelajaran subjek pendidikan islam secara amnya dapat didasarkan kepada tujuh dasar utama. Antara dasarnya ialah keesaan Allah Taala (konsep tauhid), kepercayaan pesuruh-pesuruhnya, kepercayaan kepada wahyu-wahyu Allah kepada para nabi-nabi, manusia mempunyai potensi dalam perkembangan moral dan kerohanian, setiap individu bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri, kehidupan keduniaan dan akhirat dan akhir sekali persamaan dan persaudaraan sejagat antara semua umat islam.

Menurut Syed Muhammad Al-Naquib Al-Attas melalui Mok Soon Sang (2010) ilmu islam merangkumi dua disiplin yang utama iaitu disiplin agama dan disiplin kognitif. Disiplin agama merangkumi ajaran Al-Quran, teologi, metafizik, bahasa arab dan sastera. Secara holistiknya ia merangkuminya disiplin keagamaan ini merangkumi ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari oleh umat islam kerana ianya berkaitan dengan ibadah seharian umat islam. Manakala disiplin kognitif pula merangkumi ilmu kemanusiaan, alam sekitar, sains gunaan, teknologi dan sebagainya. Bidang ini merupakan bidang ilmu yang berkaitan dengan fardhu kifayah iaitu bidang ilmu yang tidak diwajibkan kepada umat islam untuk menguasainya. Sebagai contoh ilmu perubatan, tidak kesemua umat islam diwajibkan untuk mempelajarinya hanya segelintir sahaja yang diwajibkan untuk mempelajarinya untuk memastikan kemaslahatan umat sentiasa terjaga.

Menurut Mok Soon Sang (2010) dalam Falsafah Dan Pendidikan Di Malaysia menerangkan bahawa pendidikan menurut islam merupakan usaha-usaha membaiki diri supaya membentuk sifat-sifat kesempurnaan sebagai manusia beriman, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan bersifat ikhlas. Oleh sebab itu ajaran islam islam berpaksikan kepada ajaran Al-Quran dan hadis Rasullullah S.A.W. Kurikulum pendidikan islam merujuk kepada ajaran Al-Quran sebagai pengajian utama, diikuti bahasa arab sebagai media pengantar.

Disamping kurikulum di atas, terdapat juga pendidikan yang merangkumi bidang pengajian kemanusiaan, termasuk pikologi, sosiologi, sejarah dan ekonomi. Terdapat juga bidang ilmu alam seperti botani, sains semula jadi dan sebagainya. Pendidikan islam juga menyepadukan pendidikan ilmu keduniaan dan akhirat.

FPK : Fungsi Pendidikan Islam

|
FUNGSI PENDIDIKAN ISLAM

Menurut Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002), salah satu aspek penting dan menjadi dasar dalam pendidikan adalah aspek tujuan dan fungsi. Secara rumusannya, tujuan pendidikan merupakan syarat mutlak dalam mendefinisikan pendidikan itu sendiri. Ini kerana pendidikan adalah keupayaan yang paling utama, bahkan satu-satunya cara untuk membentuk manusia adalah menurut apa yang dikehendakinya. Disebabkan oleh itulah, para ahli pendidikan merumuskan bahawa tujuan pendidikan merupakan suatu rumusan-rumusan dari berbagai harapan ataupun keinginan manusia.

Menurut Rupert C. Lodge dalam bukunya Philosophy Of Education melalui Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002) menyatakan bahawa dalam pengertian yang luas pendidikan itu berkaitan dengan seluruh pengalaman. Dalam kata lain, kehidupan adalah pendidikan dan pendidikan adalah kehidupan itu. Joe Pack pula merumuskan pendidikan sebagai “the art or process of imparting or acquiring knomledge and habit through instructional as study”.

Dalam definisi ini tekanan tugasan mendidik diletakkan pada aspek pengajaran. Aspek keperibadian yang dibina ialah dari aspek kognitif. Theodore Meyer Greene pula menghuraikan definisi pendidikan yang sangat umum. Menurutnya pendidikan adalah usaha manusia untuk menyiapkan dirinya untuk suatu kehidupan yang bermakna.

Justeru, definisi pendidikan secara umum yang dihubungkan dengan Islam menerangkan pendidikan sebagai suatu sistem keagamaan. Pengertian pendidikan secara totalnya dalam konteks Islam bermaksud “tarbiyah”, “ta’lim” dan “ta’dib” yang harus difahami secara bersama-sama ketiga-tiganya. Istilah itu juga mengandungi makna yang amat dalam yang berkaitan dengan manusia dan masyarakat serta lingkungan dalam hubungannya dengan Tuhan. Istilah-istilah itu sekaligus menjelaskan ruang lingkup pendidikan Islam yang melibatkan pendidikan informal, formal, dan nonformal.

Menurut Hujair AH. Sanaky melalui Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002) menyebut mengenai istilah tujuan pendidikan Islam bersama visi dan misi pendidikan Islam. Menurutnya pendidikan Islam sebenarnya telah memiki visi dan misi yang ideal iaitu “Rahmatan Lil ‘Alamin”. Selain itu, falsafah pendidikan Islam lebih mendalam dan berkaitan dengan persoalan hidup. Pendidikan tidak boleh terpisah dari tugas kekhalifahan manusia, atau lebih khusus lagi sebagai proses melahirkan khalifah dalam rangka membangun kehidupan dunia yang makmur, dinamis, harmonis dan lestari sebagaimana diisyaratkan oleh Allah dalam Al-Qur’an. Pendidikan Islam adalah pendidikan yang ideal, ini kerana visi dan misinya adalah “Rahmatan Lil ‘Alamin”, iaitu untuk membangun kehidupan dunia yang yang makmur, demokratis, adil, damai, taat hukum, dinamis, dan harmonis.

Menurut Munzir Hitami melalui Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002) berpendapat bahawa tujuan pendidikan tidak terlepas dari tujuan hidup manusia, biarpun dipengaruhi oleh berbagai budaya, pandangan hidup, atau keinginan-keinginan lain. Bila dilihat dari ayat-ayat Al-Qur’an ataupun hadis yang memberitahu tujuan hidup manusia yang sekaligus menjadi tujuan pendidikan.

Menurut Qodri Azizy melalui Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002) mengatakan bahawa terdapat batasan mengenai definisi pendidikan agama Islam dalam dua hal, iaitu pertama mendidik murid dengan tingkah-laku sesuai dengan nilai-nilai atau akhlak Islam dan kedua mendidik murid untuk mempelajari ajaran Islam.

FPK : Prinsip Pendidikan Islam

|
PRINSIP PENDIDIKAN ISLAM

Menurut Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002), memang benar mengenai pandangan prinsip-prinsip dasar pendidikan secara umumnya banyak dicedok dari ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasullullah S.A.W. Pada kebiasaannya dikemukakan ayat ayat atau hadis yang dapat mewakili pandangan tentang prinsip-prinsip dasar. Seperti dikatakan An-Nahlawi melalui Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002) bahawa pendidikan yang sebenar itu ialah Allah yang telah menciptakan fitrah manusia dengan segala potensi dan kelebihan serta menetapkan hukum azali, perkembangan, dan interaksinya. Prinsip prinsip pendidikan islam tersebut terdiri dari 5 prinsip utama.

Pertama, Prinsip Keutamaan. Prinsip ini menegaskan bahawa pendidikan bukanlah hanya proses mekanikal tetapi suatu proses yang mempunyai kehidupan dimana segala kegiatannya ditujukan kepada kepentingan yang utama. Kepentingan utama itu ialah nilai moral. Nilai moral yang paling tinggi adalah tauhid. Sedangkan nilai moral yang terendah dan paling buruk adalah berlaku syirik. Dengan prinsip keutamaan ini, pendidik bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi lebih daripada itu iaitu membentuk keperibadian murid dengan perlakuan dan keteladanan yang ditunjukkan oleh pendidik tersebut. Nabi Saw bersabda, “Hargailah anak anakmu dan baikkanlah budi pekerti mereka,” (hadis riwayat Nasa’i).

Kedua, Prinsip kebersamaan. Konsep ini berasal dari konsep dasar yang menerangkan bahawa manusia mempunyai taraf yang sama dan tidak ada sedikitpun perbezaan dari sudut darjat, jantina, status sosial, bangsa, mahupun etnik dan warna kulit. Sehingga anak kecil sekalipun mempunyai hak yang sama dari sudut pendidikan. Nabi Muhammad S.A.W bersabda :

“Siapapun di antara seorang laki laki yang mempunyai seorang budak perempuan, lalu diajar dan didiknya dengan ilmu dan pendidikan yang baik kemudian dimerdekakannya lalu dikawininya, maka (laki laki) itu mendapat dua pahala” (Hadis Riwayat Bukhari).

Ketiga. Prinsip Keseimbangan. Dengan adanya prinsip integrasi, prinsip keseimbangan menjadi pelengkap kepadanya, sehingga dalam perkembangan dan pembinaan manusia tiada kepincangan berlaku. Keseimbangan haruslah sama antara material dan spiritual, unsur jasmani dan rohani. Di dalam Al-Quran Allah menyebut iman dan amal secara serentak. Tidak kurang dari enam puluh tujuh ayat yang menyebutkan iman dan amal secara serentak, secara implisit menggambarkan penyatuan yang tidak boleh terpisah. Diantaranya adalah surah Al-Ashr ayat 1-3, “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.”

Keempat, Prinsip Pendidikan Seumur Hidup. Prinsip ini berpunca dari pandangan mengenai keperluan manusia di mana manusia dalam kehidupannya akan dihadapkan dengan pelbagai cabaran dan godaan yang dapat menjerumuskan diri sendiri ke jurang kehinaan. Dalam hal ini, manusia dituntut supaya mempunyai kemampuan untuk mengakui dan menyesali kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan, disamping selalu memperbaiki kualiti ibadah. Sebagaimana firman Allah S.W.T, “Maka siapa yang bertaubat setelah berbuat dosa dan memperbaiki (dirinya) maka Allah menerima taubatnya.” (surah Al-Maidah ayat 39).

Kelima, Prinsip Integrasi. Suatu prinsip yang seharusnya dimiliki kerana prinsip ini adalah mengatakan bahawa dunia ini merupakan suatu jambatan menuju dunia akhirat. Oleh kerana itu, kita haruslah mempersiapkan diri secara kukuh kerana akhirat merupakan hal yang tidak dapat dielakkan. Maka sewaktu hidup di dunia ini kita haruslah benar-benar menjadikan hidup kita bermanfaat untuk menjadikannya bekalan yang akan dibawa ke akhirat nanti. Perilaku yang terpuji, nikmat Tuhan mahupun apa sahaja yang terdapat di dalam kehidupan harus diabdikan untuk mendapat keredhaan Allah Taala. Allah S.W.T Berfirman, “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) sewaktu akhirat, dan janganlah kamu lupa tentang kebahagiaanmu di akhirat...” (surah Al-Qoshosh ayat 77). Ayat ini menunjukkan adanya sifat integrasi di mana diri dan segala yang ada padanya dikembangkan pada satu arah, yakni kebajikan dalam rangka pengabdian kepada Tuhan.

FPK : Konsep Pendidikan Islam

|
PENDIDIKAN ISLAM :
SUATU SISTEM BERKUALITI & KONSEPNYA

Islam sangat mementingkan pendidikan. Menurut Khorirur Rijal Luthfi dan Mohammad Agus Khoirul Wafa (2002), dengan pendidikan yang benar-benar berkualiti, maka akan terbentuklah individu yang akhirnya menghasilkan suasana kehidupan sosial yang bermoral. Tetapi secara realitinya, sekalipun institusi-institusi pendidikan waktu kini mempunyai infrastukrur yang bertaraf moden, namun institusi-institusi tersebut masih belum mempu menghasilkan modal insan yang diharapkan. Ini kerana visi dan misi pendidikan yang tidak selari dengan kehendak agama.

Masyarakat barat sering dipandang tinggi dalam segenap aspek, namun di sana tingginya pendidikan seseorang tidak semestinya mereka lahir sebagai modal insan yang berguna. Mungkin secara teorinya kelihatan mereka mampu menjadi modal insan yang baik dengan perlaksanaan pelbagai dasar yang berstatus tinggi, namun realitinya mereka belum menjadi modal insan yang baik dan berguna. Masih ada sesetengah insan yang tinggi pendidikannya tetapi mempunyai moral rendah. Ini terjadi disebabkan visi dan misi pendidikan yang pragmatis. Sebenarnya, agama Islam memiliki tujuan yang lebih komprehensif dan integratif dibanding dengan sistem pendidikan sekular yang semata-mata menghasilkan modal insan yang berpendidikan tinggi tanpa seiring dengan moral dan sahsiah.

KONSEP PENDIDIKAN ISLAM

Menurut sumber dari laman pendidikan islam, pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid berdasarkan ajaran Islam. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mendidik juga bermaksud memelihara, menjaga dan mengasuh seseorang anak menjadi baik. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu jalan dalam pendidikan. Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan.

Mendidik ialah ayat berupa nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik. Menasihati murid menurut perintah Allah S.W.T seperti solat, beradab dengan ibu bapa adalah pendidikan. Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan. Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam. Berdasarkan kepada kedua-dua takrifan di atas bermakna tugas mendidik bukan hanya terletak pada ibu bapa dan guru agama, malah kepada semua orang Islam. Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi didikan agama. Di sekolah, semua guru yang beragama Islam adalah pemikul amanah memberi didikan agama kepada semua murid Islam. Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan suasana islamik dalam kehidupan. Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan lain-lain

Pada kebiasaannya di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik seperti solat, menutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan didikan agama yang betul. Sama juga dengan sekolah. Sekiranya hanya guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya tentang agama, tetapi guru lain tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam.

Dalam kehidupan bermasyarakat, sekiranya masyarakat tidak melaksanakan tugasan amar maaruf nahi mungkar dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menggalakkan, ini bermakna masyarakat tersebut tidak mendidik anggotanya dengan agama, malah sebaliknya meruntuhkan agama. Sekiranya ini yang berlaku, maka penerapan islam oleh guru agama dalam kelas itu tidak akan membuahkan hasil. Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan akhlak, maka jangan disalahkan orang lain. Kerana itu yang dikehendaki oleh ibu bapa, guru dan masyarakat.

Sekiranya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran subjek keagamaan guru tidak hati-hati, guru hanya menyampaikan maklumat pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak mendidik anak muridnya. Sebagai contohnya guru agama tersebut mengajar pelajarnya dengan tajuk syarat wajib jumaat. Di akhir sesi pengajaran, pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru tercapai objektif pembelajaran. Sebenarnya guru itu belum lagi mendidik anak muridnya dengan pendidikan Islam. Yang dinamakan mendidik adalah apabila ilmu itu dipraktikkan oleh anak didik.

Sebagai contohnya bagi tajuk syarat wajib jumaat, guru diwajibkan menasihati murid lelakinya supaya menunaikan solat Jumaat. Alangkah bagusnya jika guru itu sendiri mengiringi pelajar ke masjid. Sebelum ke masjid, guru haruslah menasihati muridnya supaya jangan bising di dalam masjid. Mengambil tempat di dalam masjid dengan tertib dan membaca zikir yang baik, seperti membaca al-Quran. Sekiranya semuanya berjalan, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan islam. Cara praktikalnya juga sama bagi subjek-subjek yang lain, atau pun subjek yang lain yang bukan mata pelajaran agama. Bagi guru yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya.

Jelaslah konsep pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud. Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus. Merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya. Kedua ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup. Inilah yang dikatakan pendidikan Islam.

FPK : Pendidikan Islam

|
PENDIDIKAN ISLAM

Islam mementingkan aspek pendidikan umatnya. Malah Rasullullah S.A.W juga telah menyarankan agar umat islam sentiasa menuntut ilmu seawal di buaian sehingga ke liang lahad. Selain itu, kenyataan ini dibuktikan dengan wahyu pertama yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang menyuruh bagainda membaca dalam keadaan beliau yang ummi. Segala wahyu juga menyampaikan mesej yang sama iaitu suatu suruhan belajar mengenali Allah S.W.T., memahami keindahan ciptaan Ilahi serta mengenali diri yang merangkumi prinsip-prinsip aqidah, ilmu dan amal. Ketiga-tiga prinsip ini merupakan teras kepada falsafah pendidikan Islam.

Pentafsiran apakah maksud pendidikan juga amat jelas perbezaannya dalam penekanan dan konsepnya dalam kalangan cendekiawan barat. Menurut ahli falsafah Amerika, John Dewey melalui ensiklopedia maya Wikipedia, beliau menyatakan bahawa pendidikan adalah “The process of forming fundamental dispositions, intellectual and emotional forwards nature and fellow men.”

Menurut pendapat Prof. H. Hone melalui ensiklopedia maya Wikipedia: “Education is the eternal process of superior adjustment of the physically developed, free conscious, human beings to God as manifested in the intellectual, emotional and relational environment of men.”

Menurut ahli falsafah Yunani yang terkenal Plato, melalui ensiklopedia maya Wikipedia, mengatakan pendidikan bererti memberi keindahan dan kesempurnaan yang mungkin diberikan kepada jasmani dan rohani.

Berdasarkan takrif yang diberikan Sarjana Barat, dapat difahami bahawa pendidikan itu hanya sebagai proses melatih fizikal, akal dan sahsiah supaya dibentuk menjadi manusia dan warganegara yang baik. Dalam perspektif Islam, didikan mempunyai pengertian dan konsep yang lebih menyeluruh dan holistik.

Menurut Prof. Hassan Langgulung (1987) melalui ensiklopedia maya Wikipedia mentafsirkan pendidikan bermaksud merubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui pelbagai proses sosialisasi. Proses pemindahan tersebut ialah pengajaran, latihan dan indoktrinasi. Pemindahan nilai-nilai melalui pengajaran ialah memindahkan pengetahuan dari individu kepada individu manakala latihan ialah membiasakan diri melakukan sesuatu bagi mendapatkan kemahiran, sementara indoktrinasi pula menjadikan seseorang dapat mengambil contoh apa yang dilakukan persekitaran. Ketiga-tiga proses ini berjalan serentak dalam masyarakat primitif dan moden.

Menurut Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh (1993) dalam bukunya Dasar-dasar Pendidikan Menurut Islam mendidik itu bererti memimpin atau membentuk anak ke suatu jurusan atau tujuan. Atau dengan kata lain bahawa ‘pendidikan’ itu ialah suatu usaha dan kepimpinan yang teratur untuk mengembangkan dan memajukan segala kesanggupan dan kemungkinan-kemungkinan yang ada pada anak-anak atau orang yang terdidik dengan selengkap-lengkapnya dan setingi-tingginya mengenai jasmani dan rohani dalam batas-batas tertentu.

Menurut Dr. Yusuf al-Qardawi (1980) melalui ensiklopedia maya Wikipedia, beliau mentafsirkan pendidikan sebagai mempelajari erti hidup melalui akal, jasmani, hati, rohani, akhlak dan perbuatan. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering menghadapi segala macam kebaikan, kejahatan, kemanisan serta kepahitan. Secara holistiknya, pendidikan dari sudut kaca mata agama Islam ialah satu proses berterusan untuk merubah, melatih, dan mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia dengan berasaskan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabadikan diri kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.

FPK : Pendidikan Sebelum & Selepas Merdeka 2

|
Klik Untuk Perbesarkan Imej



FPK : Pendidikan Sebelum & Selepas Merdeka 1

|
Klik Untuk Perbesarkan Imej




















 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...