+ KaJiaN SoSiaL +

PDK : Sistem Kerajaan di Malaysia

| Tuesday, December 13, 2011

Malaysia merupakan sebuah Negara yang mengamalkan sistem kerajaan demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal samada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik.

Perkataan ini berasal dari Yunani δημοκρατíα dari δημος bermaksud "rakyat", ditambah pula dengan κρατειν bermaksud "memerintah", dengan kata hubung íα; yang memberi maksud "Diperintah oleh Rakyat” Terma ini kadangkala digunakan untuk mengukur sejauh mana pengaruh rakyat diatas kerajaannya. Demokrasi secara ekstrim boleh dilihat dalam sistem kerajaan seperti anarkisme dan komunisme (menurut teori Karl Marx ia merupakan peringkat terakhir pembangunan sosial dimana demokrasi adalah diamalkan secara langsung , dan tiada kerajaan yang bebas dari kehendak rakyat).

Perlembagaan Negara Malaysia telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan,Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.

Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa.

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.

Struktur Parlimen Malaysia

Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen:

1. Yang Di-Pertuan Agong
2. Dewan Negara
3. Dewan Rakyat

Yang di-Pertuan Agong

Parlimen Persekutuan mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dua Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.

Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang kemudiannya.Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu.

Walau bagaimanapun, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan itu dari masa ke semasa.Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat pertamanya selepas Pilihanraya Umum. Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen,Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan Rakyat hendaklah diadakan,dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya.

Dewan Negara

Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli. Dewan Negeri terbahagi kepada dua kategori iaitu 26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli) dan 44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putra Jaya.

Untuk layak menjadi ahli, seseorang calon hendaklah:-
• warganegara Malaysia
• tidak kurang dari 30 tahun
• waras fikiran
• bukan seorang muflis
• tidak mempunyai rekod jenayah

Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.

Kedudukan Dewan Negara tidak berubah dengan pembubaran Parlimen. Ahli-ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti ataupun berkebolehan menjaga kepentingan orang-orang asli.

Setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahan Perlembagaan.

Dewan Rakyat

Dewan Rakyat mempunyai seramai 222 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama lima tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan.

Kelayakan menjadi ahli adalah seperti berikut:-
• warga negara Malaysia
• tidak kurang dari 21 tahun
• waras fikiran
• bukan seorang muflis
• tidak mempunyai rekod jenayah

Seorang ahli tidak boleh memegang jawatan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam satu masa. Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Parlimen, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan

JANGAN LUPA KLIK IKLAN NUFFNAG DI SEBELAH KIRI BLOG KAMI,
SEKALI KLIK SUDAH MEMADAI, JANGAN LUPA !

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 ...~:\ NoTa PISMP KS /:~...